Perut Buncit ‘Memalukan’ Dan Mengubah Gaya Hidup Boleh Dijadikan ‘Jihad’

Hal Ehwal Teh-Kini

Baru-baru ini Mufti Negara Dr Mohd Fatris Bakaram menyeru para asatizah supaya jaga kesihatan diri dan amalkan gaya hidup sihat. Ini sesuatu yang dituntut agama dan juga untuk kebaikan mereka supaya golongan agamawan dapat jalankan tugas dakwah mereka. Dengan itu, boleh lah mereka galakkan masyarakat turut amalkan ajaran Islam, yang termasuk menjaga kesihatan.

 

“Saya agak tersentak apabila diberitahu salah seorang daripada ketua saya dahulu bila bertugas di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), yang (kini) telah bersara. (Beliau) mengatakan bahawa satu perkara yang sangat memalukan, (adalah) kalau ada ustaz yang perutnya buncit,” cerita Dr Fatris.

 

Beliau memegang kepada saat itu dan mula kuatkan azamnya untuk mengubah gaya hidup supaya dapat elakkan penyakit-penyakit serius. Mengubah gaya hidup mungkin boleh dianggap satu ‘jihad’ juga.

 

“Bila jadi Mufti, bila jadi Ustaz ini, khusus sekali bila datang musim, contoh musim Maulid Nabi, musim Ramadan. Kita mendapat undangan yang banyak, majlis yang banyak dan dalam setiap majlis dan undangan itu pastinya hidangan-hidangan yang dihidangkan juga adalah dalam kategori biasa itu adalah beriani, air-air manis. Jadi itu kena jaga dan saya cuba,” jelas beliau.

 

Dr Fatris juga tidak sembunyikan pengalaman dirinya sendiri, yang lama menghidap penyakit gout. “Kemudian satu peringkat, doktor beri amaran, bahawa kadar gula saya sudah sampai, kata orang itu, ‘borderline’ untuk saya jaga. Pada waktu itu saya rasakan, saya ini masih pada peringkat umur yang sepatutnya menikmati tahap kecergasan yang tinggi,” cerita beliau.

 

Semenjak itu, beliau ubah gaya pemakanannya dan kurangkan makanan yang bergula. Kini, Dr Fatris berusaha untuk berjalan pantas bersama isteri atau rakan-rakan. Sekali-sekala, beliau bermain badminton bersama kakitangan MUIS. Pengamalan gaya hidup sihat juga sealiran bersama mesej Rapat Umum Kebangsaan tahun ini, di mana PM Lee memberi keprihatinan kepada penjagaan kesihatan dan penyakit kencing manis.

 

Sumber: Berita Mediacorp

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments