Persatuan Seniman Malaysia Membuat Laporan Polis Terhadap Nick Mikhail

Sembang-sembang je

Beberapa hari lalu Rotikaya, satu saluran media sosial Malaysia, bertemu duga dengan Zed Zaidi untuk mendapatkan pandangannya terhadap kontroversi Aliff Aziz. Pelakon Singapura, Nick Mikhail, tidak puas hati dengan kata-kata Zed Zaidi yang seperti ingin menutup periuk nasi artis Singapura. Nick membalas dengan rakaman video di Facebooknya secara langsung untuk meluahkan pandangannya. Kini, kami difahamkan yang Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) telah membuat laporan polis semalam terhadap Nick Mikhail atas ugutannya di dalam video itu.

Zed Zaidi, atau nama sebenar, Rozaidi Jamil, diwakili Pengerusi Biro Perpaduan dan Antarabangsa Seniman, Datuk S Subash, untuk membuat laporan polis itu di Balai Polis Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor.

“Dia bukan pertama kali mengugut Zed. Sebelum ini dia pernah membuat ugutan sama apabila Zed bersuara mengenai isu pengacara Najip Ali mempersenda Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Menurutnya, laporan itu adalah sebagai langkah keselamatan sebelum berlaku perkara tidak diingini. Bagi kes sebelum ini, Zed telah meminta Seniman untuk membiarkan sahaja isu itu.

Hadir sama, Pengerusi Biro Penguatkuasaan Perlesenan dan Tatatertib Seniman, Mohd Aszerul Nizam Abdullah atau Beego. Beego memaklumkan bahawa pihak Seniman akan melanjutkan laporan itu ke peringkat seterusnya. Mereka akan menghantar laporan itu kepada Jabatan Imigresen dan badan-badan kerajaan untuk tindakan selanjutnya.

“Kita akan selidik sekiranya dia ada rekod kesalahan di Malaysia dan apa tindakan yang boleh diambil terhadapnya sekiranya dia masuk ke negara ini. Jika ada jalan pendamaian, kami terbuka untuk berdamai secara baik. Yang penting, artis luar perlu mengikut undang-undang yang ditetapkan,” tambah Beego lagi.

Dalam satu wawancara bersama Berita Mediacorp, Nick Mikhail menjelaskan niat videonya adalah untuk Zed Zaidi membuktikan dirinya sebagai Presiden Seniman. Nick mengaku tidak ada masalah bersama Seniman atau orang Malaysia. Pada tahun 2002, Nick merupakan anggota Persatuan Seniman ketika berlakon untuk rancangan Bicara Hati, sebelum Zed Zaidi menjadi Presiden. Nick juga pernah menyambut ulangtahun Sultan Kedah bersama Persatuan Seniman.

“Saya tak benci Seniman. Dalam video itu pun, saya tak kutuk Seniman. Saya tak kutuk Malaysia. Saya tak kutuk artis Malaysia. Saya tak cakap Seniman itu tidak bagus. Tetapi dulu, kita jarang dengar (orang kata) artis luar merosakkan periuk nasi Malaysia,” katanya.

TehTarik menyokong brother Singapura kita ini. Mungkin kata-katanya pedas dalam rakaman video Facebook secara langsung tetapi dia telah menganalisasi kenyataan Zed Zaidi terlebih dahulu. Siap dengan kertas lagi. Sebenarnya, laporan polis itu dibuat oleh Persatuan Seniman bukan Zed Zaidi sendiri. Zed Zaidi takut kah sampai kena hantar orang lain untuk membuat laporan polis? Kita salute Nick Mikhail kerana dia maintain tenang dan tidak bertindak sebarang setelah mengetahui tentang laporan itu. Aliff Aziz sendiri pun sudah tidak masuk campur. Semoga semua pihak berdamai sahajalah. Singapura dan Malaysia kan hidup berjiran.

 

Sebahagian laporan ini dipetik daripada Harian Metro.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments