Perluasan Program Peningkatan Rumah Pastikan Flat Awam Kekal Bernilai Dan Selesa Didiami

Hal Ehwal Teh-Kini

Perluasan program menaik taraf flat HDB yang diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Rapat Hari Kebangsaan Ahad lalu menangani keprihatinan ramai pemilik flat awam, khususnya mereka yang memiliki flat lebih tua. Mereka kini tidak perlu bimbang nilai flat mereka akan merosot sedang flat mereka semakin berusia.

 

Ucapan Perdana Menteri telah melakar pelan sistematik pemerintah menaik taraf setiap flat HDB. Encik Lee berkata setiap flat HDB akan dinaik taraf dua kali dalam tempoh pajakannya – memastikan flat kekal bernilai dan selesa didiami.

 

Pendek cerita – flat yang berusia 30-40 tahun akan ditawarkan menjalani Program Peningkatan Rumah (HIP). HIP akan turut diperluaskan bagi merangkumi lebih banyak flat.

 

Dan apabila flat itu mencecah usia 60-70 tahun, ia akan menjalani satu lagi program peningkatan yang dikenali sebagai HIP II.

 

Diperkenalkan pada 2007, HIP menawarkan dua jenis peningkatan Peningkatan Penting dan Peningkatan Pilihan.

Di bawah Peningkatan Penting, pemerintah membiayai sepenuhnya kerja-kerja peningkatan yang amat diperlukan, seperti pembaikan konkrit yang merekah dan menukar palang jemur baju.

 

Pemilik juga boleh memilih memperbaiki flat mereka seperti menaik taraf tandas, memasang pintu atau pagar baru Рdan membayar pembaikan yang mereka pilih. Lazimnya bagi Peningkatan Pilihan, pemilik boleh memanfaatkan subsidi antara 87.5 peratus hingga 95 peratus, di mana  yang kurang mampu akan diberi pertolongan yang lebih tinggi.

 

HIP akan dilaksanakan jika 75 peratus pemilik warga Singapura di sebuah blok bersetuju. Sehingga 1 Ogos 2018, HIP telah diumumkan bagi sekitar 242,000 daripada 320,000 flat yang layak menjalani program itu. Daripada bilangan itu HDB berkata kerja-kerja peningkatan telah dilaksanakan bagi separuh atau 122,000 flat, sementara kerja sedang dijalankan bagi baki flat. Pemerintah dijangka membelanjakan $4 bilion bagi projek tersebut.

 

Buat masa ini, flat yang dibina sehingga 1986 layak dipilih bagi HIP.

 

Perluasan HIP

Di Rapat Hari Kebangsaan Ahad lalu, Encik Lee berkata HDB akan memperluaskan HIP demi memberi manfaat kepada lebih ramai isi rumah.

 

HDB dalam kenyataannya mendedahkan flat yang dibina sehingga 1997 akan layak menjalani HIP. Dengan perluasan skim ini sekitar 230,000 lagi rumah di serata pulau boleh meraih manfaat daripada HIP.

 

Selaras dengan HIP terdapat juga program peningkatan flat yang memberi manfaat kepada penduduk warga emas. Program Peningkatan bagi Warga Emas Aktif (Ease) dilancarkan pada 2012 demi mempertingkat keselamatan dan keselesaan bagi warga emas yang tinggal di flat HDB. Bagi kemudahan penduduk, HIP dan Ease ditawarkan sekali gus. Di bawah Ease pemilik rumah boleh memilih memasang pelbagai kemudahan mesra warga emas seperti lantai kalis gelincir di tandas atau bilik mandi, palang pautan dan anjakan kerusi roda.

 

HIP II

Program baru HIP II akan menawarkan program peningkatan pusingan kedua bagi setiap flat HDB. Program ini akan dilancarkan dalam masa 10 tahun mendatang. Lebih banyak butir akan diumumkan kelak.

 

 

Selain HIP, HIP II dan Ease, terdapat banyak lagi program yang telah dilancarkan demi memberi nafas baru kepada flat dan juga di kejiranan masing-masing.

 

Sebagai contoh Program Mereka Semula Estet Perumahan (ROH), Program Peningkatan Utama (MUP) dan Program Peningkatan Lif (LUP) dan Program Pembaharuan Kejiranan (NRP).

 

Program sistematik dan menyeluruh menunjukkan komitmen pemerintah menangani keprihatinan warga. Ia juga mencerminkan wawasan pemerintah memastikan kediaman yang selesa dan dimampui bagi rakyat.

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments