Pendidikan Universiti Penting Namun Pembelajaran Sepanjang Hayat Lebih Penting

Sembang-sembang je

Semasa berucap di jamuan malam sempena acara Commencement Universiti Nasional Singapura (NUS) Menteri Pendidikan Ong Ye Kung memberi pengamatannya tentang peri penting pendidikan di menara gading. Menggunakan NUS sebagai contoh, beliau berkata institusi itu menawarkan pendidikan yang baik kepada generasi muda Singapura.

“Ini dicerminkan oleh hasil pekerjaan para pelajar dan bagaimana industri dan syarikat menilai sumbangan mereka, reputasi NUS dan kredibiliti pendidikan mereka,” kata Encik Ong.

 

Memberikan contoh beliau berkata jurusan kejuruteraan awam universiti itu secara konsisten mencatatkan kadar pekerjaan sebanyak 95 peratus sepanjang lima tahun lalu.

 

Daripada ucapan beliau, jelas bahawa salah satu kepentingan pendidikan di menara gading ialah kemahiran dan ilmu yang diraih para mahasiswa bagi menyertai pasaran kerja.

Majikan khususnya syarikat berbilang negara dan agensi pemerintah sering berlumba menarik bakat terbaik khususnya daripada universiti terkemuka seperti NUS.

 

Potensi Gaji Lebih Tinggi

Prospek gaji yang lebih tinggi juga mendorong ramai mengejar pendidikan tinggi.

 

Kajian Pusat Pendidikan dan Tenaga Kerja Georgetown di Amerika Syarikat menunjukkan, warga yang mempunyai ijazah sarjana muda – menikmati gaji purata lebih tinggi (sehingga 84 peratus lebih tinggi) berbanding mereka yang hanya memiliki diploma sekolah tinggi. Namun terdapat juga laporan yang menunjukkan jurang gaji ini semakin rapat.

 

Biar begitu nilai pendidikan universiti juga bergantung kepada institusi pengajiannya.

 

Kajian Jawatankuasa Pendidikan Swasta yang dikeluarkan tahun lalu menunjukkan, daripada sudut keupayaan mendapatkan pekerjaan, siswazah institusi pengajian tinggi swasta berada di belakang rakan-rakan mereka yang tamat pengajian di universiti awam.

 

Ramai siswazah universiti privet bukan hanya lebih sukar mendapatkan pekerjaan berbanding siswazah universiti awam, bahkan mereka juga menerima gaji permulaan yang lebih rendah.

 

Biar demikian, terdapat juga contoh individu yang berjaya mencapai kecemerlangan tanpa pendidikan universiti. Sebagai contoh mendiang Steve Jobs yang mengasaskan syarikat komputer Apple, tidak tamat pendidikan di menara gading. Pada waktu kematiannya Encik Jobs mempunyai nilai bersih sekitar AS$10.2 bilion.

 

Sedang pendidikan universiti umumnya dilihat sebagai batu loncatan bagi pekerjaan yang baik dan kemajuan kerjaya terdapat juga kepentingan tidak ketara yang tidak kurang penting.

 

Pemikiran Kritikal

Penuntut institusi pengajian tinggi juga dilatih supaya mempunyai minda yang tajam dan berupaya mencari huraian bagi cabaran yang rumit di masa depan.

 

Seperti kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim di majlis Konvokesyen Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa):

 

“Sedang anda menerima sijil anda hari ini, ketahuilah bahawa NAFA telah menyediakan anda dengan asas yang kukuh untuk masa depan. NAFA telah memupuk dalam diri anda, minda kritikal yang membolehkan anda meneroka soalan dan idea yang sukar. Yang paling penting, saya harap ia telah mencetuskan keinginan bagi anda untuk menyumbang kepada  masyarakat melalui seni,” kata Dr Faishal.

 

Pembangunan Holistik

Di luar manfaat ekonomi swasta, pendidikan universiti juga boleh memenuhi tujuan yang lebih tinggi, seperti menggalakkan pengetahuan dan perkembangan holistik individu.

 

Siswazah sarjana Universiti Teknologi Nanyang Cik Lina Abdul berpendapat pendidikan tinggi membantu beliau berfikiran kritikal.

 

“Selain kemahiran profesional yang diperlukan dalam bidang yang dipelajari ia juga mendorong kami membaca dan memikirkan perkara-perkara di luar ruang keselesaan kami. Saya juga rasa pendidikan universiti masih mempunyai nilai di Singapura,” ujar beliau.

 

Rangkaian Kerja

Pendidikan universiti juga menawarkan peluang bagi pelajar meraih kemahiran halus seperti cara berkomunikasi dan membina rangkaian kerja serta persahabatan  yang mungkin boleh mendatangkan manfaat di masa depan.

 

Pembelajaran Sepanjang Hayat

Namun dengan ekonomi yang pesat berubah, digandingkan dengan kemunculan teknologi baru, siswazah tidak lagi berdaya berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan ijazah yang sudah digenggam.

 

Pembelajaran sepanjang hayat dan keinginan meraih kemahiran baru secara berterusan wajar dijadikan falsafah hidup setiap warga.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments