Pendidikan Prasekolah Beri Kanak-kanak Persiapan Awal

Sembang-sembang je

Bak kata pepatah kalau mahu melentur buluh biar dari rebung. Begitu juga dengan usaha mempersiap kanak-kanak dalam pendidikan.

 

Kajian menunjukkan pembangunan otak bagi kanak-kanak adalah paling tinggi dalam tempoh empat tahun pertama kehidupan. Otak membentuk jalur saraf yang penting bagi membantu mengembangkan keupayaan kanak-kanak berfungsi dan belajar dengan baik. Banyak pakar dan guru sering mengumpamakan otak kanak-kanak dalam tempoh itu sebagai span – berupaya menyerap dan menyimpan maklumat dengan baik.

 

Seiring dengan pembangunan otak adalah peri penting menyemai struktur dalam kehidupan harian kanak-kanak. Perbuatan bangun bagi, bersiap dan pergi ke sekolah memerlukan disiplin justeru penting juga mendedahkan kanak-kanak pada peringkat awal dalam perkara itu. Jadual kegiatan di prasekolah juga membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dengan kegiatan harian dan kerjaya masa depan.

 

Langkah mendedahkan kanak-kanak kepada pendidikan awal juga penting dari sudut ketrampilan sosial. Kajian menunjukkan kanak-kanak yang tidak didedahkan kepada sekitaran sosial di prasekolah – bergaul, bermain dan berinteraksi dengan kanak-kanak sebaya – boleh menghadapi kesukaran menyesuaikan diri di sekolah rendah. Ini kerana, sekitaran sekolah rendah adalah lebih besar dan lebih riuh berbanding sekitaran di rumah. Juga penting adalah kemahiran sosial lain seperti belajar cara mendengar, bercakap dengan sopan, menerima perbezaan budaya, bekerjasama, berkongsi sumber, meminta maaf dan mengucapkan terima kasih. Kesemua ini membina insan yang murni.

 

Kebanyakan prasekolah di negara ini juga menawarkan pembelajaran bahasa Ibunda. Menekankan peri penting pembelajaran bahasa Ibunda dan memulakannya di peringkat awal, Menteri Pendidikan Ong Ye Kung semasa berucap di majlis pelancaran Bulan Bahasa baru-baru ini berkata lebih ramai warga Singapura kini menyedari manfaat mengetahui dua bahasa, termasuk bahasa Ibunda.

 

“Ia membolehkan kita terus berhubung dengan asal usul kita, menggalakkan empati budaya dan sikap inklusif, dan membantu kita memahami perspektif yang berbeza. Di samping itu, dalam dunia globalisasi ini, di mana Asia berkembang dan menjadi makmur, mengetahui bahasa Ibunda kita juga merupakan kemahiran ekonomi yang penting.

 

“Sebagai contoh, lokasi Singapura di tengah-tengah Asia Tenggara menempatkan kami di tengah-tengah lebih dari 290 juta orang yang berbahasa Melayu atau Bahasa Indonesia. Mengetahui bahasa itu membuka peluang,” kata Encik Ong.

 

Selain ilmu dunia, sebilangan prasekolah turut menyerapkan pendidikan asas Islam dalam kurikulum mereka. Ini juga boleh memberi manfaat kepada murid, menjadikan mereka lebih terbuka menerima ilmu agama di masa depan.

 

Kajian juga menunjukkan kanak-kanak mampu belajar dan melakukan lebih daripada yang lazimnya diharapkan ibu bapa. Kajian juga menunjukkan kanak-kanak yang didedahkan kepada huruf dan angka pada peringkat awal lebih berupaya menyesuaikan diri dengan keperluan akademik di sekolah rendah. Justeru keupayaan mengenal dan menulis huruf serta nombor memberi kanak-kanak persediaan asas bagi kemahiran akademik di masa depan.

 

Dengan ekonomi yang kian memanfaatkan teknologi, prasekolah juga sedang mendedahkan murid-murid kepada penggunaan teknologi. Ini termasuk pembelajaran asas menggunakan komputer dan robot.

 

Pendidikan prasekolah juga memberi peluang bagi murid-murid belajar berdikari tanpa terus terikat kepada ibu bapa mereka. Tempoh perpisahan buat seketika itu turut memberi manfaat kepada ibu-bapa yang berpeluang bekerja atau mengejar keinginan peribadi semasa anak mereka di prasekolah.

 

Dengan komitmen pemerintah Singapura menambah sumber seperti membuka lebih banyak prasekolah di estet-estet perumahan dan menawarkan bantuan kewangan bagi mereka yang berpendapatan rendah, tiada alasan bagi ibu bapa tidak menghantar anak-anak mereka ke prasekolah.

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments