Pembelajaran Sepanjang Hayat Lebih Penting Daripada Keputusan PSLE

Hal Ehwal Teh-Kini

KHAMIS lalu keputusan PSLE telah diumumkan dan berita baiknya sebilangan besar iaitu 98.4 peratus murid yang menduduki peperiksaan itu berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah.

 

Tahniah kepada murid yang berjaya!

 

Bagi yang kurang berjaya usah khuatir, PSLE sekadar cabaran permulaan dalam perjalanan pembelajaran yang jauh lagi berliku namun turut menawarkan pelbagai peluang menarik. Masih banyak lagi peluang bagi yang kurang berjaya untuk mencapai yang lebih baik.

 

Bagi yang kurang berjaya, usah terlalu fokus kepada gred yang tercetak pada kertas keputusan. Asalkan anda telah mencuba sedaya upaya, keputusan PSLE bukanlah satu-satu perkara yang akan menentukan masa depan anda.

 

Terdapat banyak contoh murid-murid yang kurang berjaya di PSLE tetapi berjaya mengukir kejayaan pada usia yang lebih lanjut.

 

Dalam sebarang peperiksaan bukan murid-murid sahaja yang menghadapi tekanan. Ibu bapa juga stres. Lebih-lebih lagi mereka yang menaruh harapan melangit bagi pencapaian anak-anak mereka.

 

Sudah tentu ada yang gembira anak-anak mereka berjaya, tidak kurang juga kecewa. Tentu selepas keputusan diumumkan ada yang datang berjumpa guru dan pengetua, mahukan penjelasan kenapa keputusan peperiksaan anak mereka kurang memuaskan.

 

Pendek kata ibu bapa tidak harus meletakkan jangkaan terlalu tinggi. Jangkaan ibu bapa adakala tidak selari dengan jangkaan anak-anak mereka. Oleh itu mereka tidak seharuskan terlalu rasa kecewa jika anak-anak mereka tidak memenuhi jangkaan mereka. Perlu diukur semula jangkaan ibu bapa dengan keupayaan realistik anak-anak mereka.

 

Anak-anak yang seharusnya diberi ruang meneroka perjalanan pembelajaran masing-masing berdasarkan kemampuan dan kebolehan masing-masing, sementara ibu bapa bertindak sebagai pengawas, membimbing anak-anak jika mereka kelihatan mahu melencong ke arah laluan yang negatif.

 

Hakikatnya setiap kanak-kanak itu mempunyai keistimewaannya, tidak semua yang cenderung dalam bidang akademik.

 

Laluan pembelajaran pelbagai yang diperkenalkan pemerintah boleh memberi murid-murid peluang mengasah keupayaan mereka dan juga membuka pintu bagi murid meninjau laluan pembelajaran lain yang mungkin lebih sesuai dengan diri mereka.

 

Pemerintah juga telah memperkenalkan pelbagai langkah bagi mengurangkan tumpuan kepada markah agregat – matlamatnya menggalak murid-murid mengecap keseronokan dalam pembelajaran dan memberi penekanan kepada ‘pembelajaran sepanjang hayat’.

 

Sebagai contoh, Kementerian Pendidikan (MOE) tidak lagi mendedahkan nama dan agregat pelajar terbaik. Sebaliknya tumpuan kini diberikan kepada pelajar yang berjaya mengatasi cabaran hidup dan mencapai keputusan yang memuaskan dalam peperiksaan.

 

Turut dilaksana ialah mengubah sistem markah PSLE.

 

Dalam pada itu beberapa lagi perubahan telah diumumkan bagi mengurangkan tumpuan kepada peperiksaan.

 

Misalnya mulai tahun depan, peperiksaan di sekolah tidak lagi akan diadakan bagi murid darjah satu dan dua.

 

Sebaliknya, guru akan menggunakan bentuk penilaian lain yang lebih kecil dan tidak memberi gred kepada murid.

 

Bagi menggalak murid memberi tumpuan kepada pembelajaran sendiri dan bukan terhadap persaingan, buku laporan tidak lagi akan menyenaraikan kedudukan pelajar dari segi pencapaian dalam kelas atau di peringkat sekolah – iaitu tiada lagi tempat pertama, kedua mahupun terakhir.

 

Diharap dengan perubahan ini, ibu bapa dapat menyokong dan menggalak anak-anak melalui perjalanan pembelajaran yang jauh dan tidak semata-mata hanya menitik beratkan keputusan PSLE.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments