Okto Bakal Tamat Siaran, MediaCorp Perlu Cari Cara Baru Pikat Penonton

Sembang-sembang je

Okto, sebuah saluran televisyen milik syarikat media tempatan Mediacorp, akan menyiarkan rancangannya yang terakhir di penghujung April ini.

 

Mediacorp berkata okto akan digabungkan dengan Channel 5 mulai 1 Mei.

 

Ini bermakna okto, saluran bagi rancangan kanak-kanak dan sukan, akan menyertai saluran seperti TV12 Central, yang telah melabuhkan tirainya.

 

Mediacorp dilaporkan akan menyerahkan kembali frekuensi saluran okto kepada Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) namun jenama itu akan kekal di saluran dalam talian Toggle.

 

Mediacorp menyatakan langkah itu akan menggabungkan dual saluran terbaik dan menjadikan Channel 5 saluran utama bahasa Inggeris untuk warga Singapura.

 

Penyiar itu berkata ia akan terus memberi tumpuan yang kuat terhadap kandungan kanak-kanak dan pengaturcaraan sukan. Kandungan okto untuk kanak-kanak akan disiarkan di Channel 5, di mana ia akan menikmati jangkauan yang lebih luas.

 

Rancangan sukan masih akan disiarkan di platform Mediacorp. Liputan acara sukan utama seperti Sukan Olimpik akan disediakan di televisyen dan Toggle.

 

Untuk sukan sekolah, perlawanan akhir sukan sekolah nasional yang tertentu akan terus disiarkan di Toggle.

 

Mediacorp menambah ia bertujuan menyampaikan kandungan secara digital dan di televisyen, kerana penonton “beralih antara dunia dalam talian dan luar talian”.

 

Ketua Pelanggan Mediacorp Cik Irene Lim berkata:

 

“Perubahan ini mencerminkan komitmen berterusan kami untuk memahami keperluan penonton kami dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada mereka.”

 

Apa yang mungkin tidak disebut ialah cabaran Mediacorp terus membiayai kos tinggi mengendalikan operasi sebuah saluran media tradisional di sebalik saingan saluran media baru seperti Facebook, Instagram, Netflix dan Amazon Prime.

 

Biarpun Mediacorp ada menerima pembiayaan daripada pemerintah, syarikat itu tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pemerintah dan ia juga perlu mencari sumber pendapatan yang berterusan lagi mampan.

 

Seperti syarikat media lain Mediacorp menghadapi dilema mempertahankan model perniagaan media tradisional, yang sejak sekian lama mendatangkan pendapatan bagi syarikat itu.

 

Jika dahulu, para pengiklan tidak ada banyak pilihan untuk meletakkan iklan, mereka kini mempunyai banyak pilihan pada harga yang lebih rendah.

 

Selain saingan media baru, Mediacorp seperti banyak lagi syarikat media di serata dunia kian menghadapi pelbagai ‘gangguan’ lain pada perniagaan media tradisionalnya.

 

Selera penonton, khususnya golongan muda kini lebih selesa menghadap peranti digital mereka seperti telefon bijak atau iPad berbanding duduk di hadapan peti televisyen, menunggu waktu siaran untuk menonton rancangan.

 

Jelas Mediacorp perlu mencari strategi baru untuk memikat golongan muda.

 

Langkah menggabungkan okto dengan Channel 5 mungkin boleh dilihat sebagai satu usaha jangka pendek, sedang Mediacorp menyusun strategi jangka panjangnya.

 

Kerana tanpa strategi yang lebih berkesan untuk memikat penonton, Mediacorp mungkin perlu menggabungkan salurannya yang lain.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments