Menabung $5 Sehari Selama 5 Tahun Boleh Penuhi Niat Ibadah Haji

Sembang-sembang je

Tidak semua di antara kita mampu untuk menunaikan haji. Malah, gaji yang ada pula hanya mencukupi untuk menanggung sang isteri, ibu bapa, anak-anak, adik-beradik yang masih bersekolah dan sebagainya. Ia membunuh lagi harapan kita setelah segala titik peluh dan gaji dipaksa (dan bukan terpaksa) diketepikan untuk simpanan CPF, salah satu tuntutan wajib oleh pemerintah.

 

Kita boleh menyuarakan rasa ketidakpuasan terhadap sistem CPF tetapi bukankah dengan adanya sistem CPF, ia telah menyelamatkan kita daripada menjadi papa kedana pada usia yang muda? Bukankah ia juga mengelakkan sifat leka untuk mengetepikan lebih banyak lagi simpanan sempena menjelangnya usia senja? Secara tidak langsung sistem CPF ini membantu kita merancang serta mengagihkan kewangan kita dengan lebih bijak – dari segi pembiayaan rumah sehinggalah perubatan kesihatan.

 

Ramai golongan perintis (dan semakin ramai golongan muda juga) mengharapkan wang CPF ini boleh digunakan untuk menunaikan ibadah haji apabila diberi kebenaran untuk mengeluarkannya pada usia 55 tahun. Tetapi niat si hati sesetengah jemaah haji berpotensi seakan tergendala apabila pemerintah hanya membenarkan mengeluarkan $5000 (tergantung pada baki CPF anda) sahaja. Baki wang CPF boleh dikeluarkan hanya setelah kita mampu mengetepikan jumlah penuh wang pencen yang telah ditetapkan mengikut tarikh kelahiran (rujuk lelaman ini). Kalau tidak mencukupi juga… kita hanya boleh mengeluarkan $5000 lagi dalam berfasa.

 

Nasihat Teh Tarik kepada anda… jangan mengharapkan segalanya pada simpanan CPF! Jangan meletakkan segala impian ibadah anda kepada sebuah sistem yang sering mempunyai pembaharuan dan perubahan. Jangan menanam sebuah tumbuhan sahaja dan meletak segala cita-cita anda pada hasil yang satu. Jika hasil yang satu gagal, hati kita yang remuk dan rasa kesal boleh memakan jiwa.

 

Zaman semakin canggih, dan warga kita semakin bijak dengan pemikiran yang celik. Dengan gaji yang rendah sekalipun, Teh Tarik yakin yang kita semua mampu untuk menabung dengan wang simpanan yang dilakukan sendiri.

 

Bagaimana caranya?

 

Mulakan dengan jumlah kecil-kecilan dalam menabung. Rangkaian pembiayaan ibadah haji kini bermula dari $7,000 hingga $12,000. Kos ini sering diperbaharui dan Teh Tarik menyarankan untuk memulakan dengan jumlah $5 untuk disimpan setiap hari (jumlah terpulang pada keselesaan anda). Jika perlu, simpan wang tersebut di tempat yang payah atau tidak mampu untuk mengeluarkannya. Anda boleh gunakan kotak berkunci atau kotak simpanan berkod yang mungkin hanya ibu atau peguam dan sebagainya sahaja yang tahu nombor laluannya. Dengan jumlah ini, anda pasti mampu untuk membiayai pakej haji dalam jangka masa sekurang-kurangnya lima tahun!

 

  • $5/hari
  • $150-155/bulan
  • $1825/tahun
  • $9125/5 tahun
  • $12,775/7 tahun

 

Teh Tarik yakin bahawa ramai di antara kita telah memulakan cara simpanan sebegini secara menyeluruh. Tetapi mungkin belum ramai di antara kita memberi perhatian khas untuk menabung untuk ibadah haji. Kita perlu sering saling ingat-mengingati, bukan?

 

Seperti yang anda tahu, hidup ini ada pasang dan surutnya, jangan menaruh harapan sepenuhnya pada pemerintah untuk membantu memenuhi impian ibadah kita. Jangan meminta-minta dan membanding pembiayaan ibadah haji di Singapura dengan negara lain kerana setiap negara berbeza-beza. Perbanyakan ruang untuk anda berjimat dan menabung. Jika terlahirnya sebuah sistem untuk memberi keringanan kos ibadah haji yang ditawarkan pemerintah di masa hadapan, maka ianya menjadi satu bonus untuk warga Islam di Singapura, bukankah begitu?

 

Luaskan lagi perspektif anda dalam perancangan kewangan. Dengan mulanya wang simpanan awal, lebih cerah masa depan anda bergelar Haji dan Hajjah. InsyaAllah!

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments