Meme Sebagai Hiburan

Sembang-sembang je

Sumber: Kiasu Memes For Singaporean Teens

 

SEJAUH manakah hiburan itu boleh diterima?

 

Generasi zaman ini semakin kreatif dengan penularan “meme”. Kebanyakan meme melibatkan gambar-gambar atau video ringkas (GIF) yang melibatkan ekspresi manusia atau haiwan bersertakan catatan ringkas, selalunya frasa yang lucu.

 

Ada juga meme yang bersifat sindiran atau untuk menyampaikan sesuatu mesej secara beralas, namun kebanyakannya tidak mengandungi unsur-unsur negatif atau bertujuan mempersendakan sesiapa. Dalam ruangan komen di Facebook juga terdapat pilihan untuk menggunakan meme GIF untuk berbalas pandangan.

 

Ia sudah menjadi satu simbol budaya Internet, penularannya begitu luas dan telah diterima secara umum sebagai salah satu fenomena antarabangsa.

 

Gambar yang disertakan ini telah mendapat perhatian umum baru-baru ini kerana menggunakan dua watak penting Singapura, Sang Nila Utama dan mendiang PM Lee Kuan Yew.
“Pada satu hari, Lee Kuan Yew ternampak seorang budak yang miskin mengemis makanan di tepi jalan. Beliau lalu berikan makanan dan tempat lindungan kepadanya. Budak itu menjadi seorang yang berjaya sehinggakan dia menubuhkan negaranya sendiri. Nama beliau adalah Sang Nila Utama.”

 

Ramai boleh menerima dan menganggap meme seperti ini sebagai sesuatu bahan hiburan yang lucu. Malah mereka menjawab dengan komen-komen tambahan lebih melucukan, walaupun setiap komen itu tidak ada rujukan fakta sejarah, malah ada yang tidak masuk akal langsung.

 

Setiap balasan komen juga menerima banyak “Likes” dan emotikon ketawa. Ini menunjukkan ramai yang menganggap gambar ini sebagai satu hiburan, tiada elemen serius yang membahayakan. Sejauh ini tidak ada pula yang membangkang, marah atau “bersedih” dengan meme tersebut.

 

Mereka tahu ini sekadar satu rekaan semata, bukan berita palsu.

 

Namun, bila ditujukan kepada peringkat usia pengguna Facebook yang lebih dewasa, ada di kalangan mereka yang tidak dapat menerima meme ini. Mereka menganggap ia sebagai satu imej yang biadap kerana melibatkan dua orang yang bertanggungjawab membangunkan Singapura.

 

Mereka tidak menerima bahawa meme ini adalah rekaan semata-mata, malah mereka menganggap ia satu penghinaan.

 

Mungkin mereka terlepas satu meme asal yang mungkin telah mencetuskan idea ini;

 

Sumber: Memes Republic

 

Apakah batasan meme? Apakah meme seperti ini perlu dipantau? Atau apakah kita terlalu lurus bendul dan serius terhadap setiap kejadian yang berlaku di sekeliling kita?

 

Mungkin secara kebetulan, satu penyelidikan oleh Princeton and New York University mendapati bahawa “pengguna Facebook yang berusia 65 tahun ke atas lebih cenderung untuk menyebarkan berita palsu berbandingkan pengguna muda yang berusia 18-29 tahun”

 

Walaupun penyelidikan ini hanya meliputi 3,500 orang dan dilakukan di Amerika Syarikat, tidak mustahil jika ia juga benar berlaku di sini.

 

Minda yang terbuka itu penting, namun lebih baik berbekalkan pengetahuan yang berasas dan kepekaan terhadap perubahan pesat dalam dunia digital. Mungkin inilah yang membezakan antara generasi muda dan warga emas.

 

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments