Mata Air Panas Sembawang akan dibangunkan semula

Hal Ehwal Teh-Kini, Sembang-sembang je

Ramai percaya bahawa mata air panas boleh mengurangkan kesakitan di lutut dan kaki. Ada juga menggunakannya untuk mengurangkan perasaan tertekan dan membantu mereka tidur dengan lebih selesa. Di Singapura, kawasan mata air panas yang lazim dikunjungi penduduk setempat terletak di persimpangan Sembawang Road dan Gambas Avenue. Menurut Lembaga Perpustakaan Negara, ia ditemui pada tahun 1908!

Sesiapa yang telah ke sana tentu pernah merasakan keseronokannya, terutama sekali apabila melihat pelbagai gelagat pengunjung yang mempunyai tujuan-tujuan berbeza. Selain untuk menyegarkan tubuh badan, ada yang menggunakan mata air panas itu untuk merebus telur!

 

Sumber gambar: Channel News Asia

 

Baru-baru ini, Lembaga Taman Negara (NParks) telah mengumumkan bahawa Mata Air Panas Sembawang akan dijadikan sebuah taman berukuran satu hektar. Pembangunan taman itu akan bermula pada akhir tahun ini dan dijangka untuk siap setahun kemudian.

Pengumuman ini telah menarik perhatian ramai terutama sekali penduduk-penduduk yang tinggal berdekatan dengan mata air panas ini. Ramai yang kurang selesa dengan cadangan ini kerana mereka suka dengan kesunyian tempat itu yang dikelilingi pokok dan tumbuh-tumbuhan, jauh daripada kesibukan bandar.

Tetapi, ada juga yang menyokong tindakan ini kerana sekurang-kurangnya kawasan ini lebih terjaga. Paip tambahan juga akan dibina supaya ramai orang boleh menggunakan mata air panas ini.

Seorang pensyarah berpengalaman dari Sekolah Persekitaran Asia di Universiti Teknologi Nanyang, Dr Grahame John Henderson Oliver, telah mengatakan bahawa pembanguan semula ini akan mengambil masa yang lama, namun, NParks sepatutnya mengambil maklum balas dari penduduk-penduduk persekitaran itu.

 

Sumber gambar: Channel News Asia

 

“Bagi saya, jika anda ingin melakukan pembangunan di Singapura sekarang, anda harus melakukan laporan tentang kesan yang akan menjejas persekitaran dan menerbitkannnya.”

Dia juga menambah bahawa orang ramai boleh memberi maklum balas masing-masing. Wakil dari lembaga-lembaga yang terlibat serta orang ramai boleh berbincang tentang isu ini.

Bagi TehTarik, walaupun kami menyokong idea untuk membangunkan mata air panas ini supaya orang ramai boleh menggunakannya, kami juga harap suasana asalnya boleh dikekalkan, yakni suasana redup yang dikelilingi pokok dan tumbuh-tumbuhan. Kami ingin generasi akan datang mempelajari tentang sumber air semulajadi ini dan pada masa yang sama dapat merasai suasana Singapura yang nyaman.

Seperti yang ramai sudah tahu, beberapa tempat nostalgik di Singapura seperti Sungei Road dan rumah-rumah flat di Rochor Road telah memberi ruang untuk pembangunan baru. Sayang, tetapi kami perlu mengikut arus permodenan.

Walaupun NParks telah mengeluarkan pengumuman pembangunan semula, kami berharap tempat-tempat ini akan dijaga dan tidak dilenyapkan dengan begitu sahaja.

 

Sumber: Channel News Asia dan The Straits Times

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments