Macam Mana Nak Tahu Seseorang Itu Menghadapi Kemurungan?

Hal Ehwal Teh-Kini

Menurut Institut Kesihatan Mental (IMH), kemurungan adalah antara gangguan mental tertinggi di tangga tiga ke atas di Singapura. Lebih 57,000 lelaki dan 102,000 wanita mengalami kemurungan dalam hidup mereka!

 

PENYEBAB KEMURUNGAN

 

Gangguan mental ini mempunyai pelbagai jenis dan ada juga kemurungan yang turun-temurun dalam keluarga. Kemurungan berkaitan dengan kimia yang berlebihan atau kekurangan di bahagian otak. Walaupun satu isu mental, ia juga dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti barah, angin ahmar, atau penyakit jantung.

 

Kejadian-kejadian dalam hidup juga boleh membawa kemurungan seperti hilang pekerjaan, perceraian, persaraan atau kematian orang terdekat. Kadang-kala masalah sosial seperti rasa keseorangan atau kurang kehidupan sosial juga boleh menjadi penyebab.

 

TANDA-TANDA KEMURUNGAN

 

Jika seseorang mengalami sekurang-kurangnya lima simptom berikut selama lebih dua minggu, ada kemungkinan dia menghadapi kemurungan:

 

  • Perasaan sedih atau muram berterusan
  • Hilang minat bagi kegiatan yang dahulu dianggap seronok
  • Kurang selera makan
  • Berat badan merosot
  • Kurang atau berlebihan tidur
  • Perasaan gelisah
  • Senang rasa runsing atau terganggu
  • Rasa penat
  • Tidak mampu berikan perhatian
  • Sukar untuk buat keputusan
  • Rasa tidak berguna dan serba salah
  • Fikirkan kematian

 

 

Kita harus sentiasa berjaga kerana ada orang kelihatan biasa sahaja dan langsung tidak menunjukkan apa-apa simptom walaupun sebenarnya mereka sedang derita.

 

BAGAIMANA UNTUK BANTU?

 

Jika anda dapat mesej minta bantuan atau seseorang berkongsi niat ingin bunuh diri, hubungi mereka dan periksa keadaan mereka. Beritahu seseorang ahli keluarganya atau kenalan terdekat supaya mereka boleh perhatikan mereka.

Anda tidak perlu berikan nasihat atau selesaikan masalah individu itu dengan segera. Yang penting, berikan perhatian dan temankan mereka. Beri peluang untuk mereka berkongsi dan dengarkan apa yang ingin mereka luahkan.

Jika anda ingin berikan nasihat, pastikan anda berikan mereka kata-kata perangsang dan harapan. Cadangkan cara penyelesaian bagi jangka masa pendek dahulu supaya mereka tidak rasa lemas dengan masalah mereka. Jika mereka nafikan bahawa mereka hadapi kemurungan, jangan paksa mereka untuk terima kenyataan. Berikan masa dan sokongan yang diperlukan.

 

Sumber: CNA

Comments