Lahirkan Golongan Asatizah Berkesan Tangani Cabaran Masa Depan

Hal Ehwal Teh-Kini

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli Masagos Mohamad baru-baru ini mengumumkan strategi menyeluruh bagi memperkukuh sektor agama di Singapura.

 

Salah satu tunggak strategi itu ialah mempertingkat sistem pendidikan madrasah.

 

Tujuannya ialah supaya madrasah di sini dapat melahirkan golongan asatizah yang berupaya membimbing kehidupan keagamaan Muslim setempat mengikut landasan Islam, yang berlatar belakang konteks negara sekular dan masyarakat berbilang agama di negara ini.

 

Selaras dengan matlamat tersebut, Madrasah Aljunied baru-baru ini telah memperkenalkan program Program Diploma International Baccaulaureate (IBDP).

 

Kohort pertama seramai 26 pelajar madrasah itu kini sedang mengikuti program tersebut. Mereka dipilih berdasarkan kelakonan mereka di menengah dua.

 

IB merupakan program untuk pelajar berusia 16 hingga 19 tahun yang diiktiraf universiti terkemuka di seluruh dunia.

 

Melalui IBDP, sekolah dapat membangunkan pelajar yang mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam, berkembang secara fizikal, intelek, emosi dan etika.

 

Ia juga berupaya menghasilkan pelajar yang cemerlang dalam mata pelajaran akademik tradisional serta membuka peluang bagi mereka meneroka sifat pengetahuan melalui teori unik kursus pengetahuan program.

 

Semasa mengumumkan program itu semasa sidang Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan di Parlimen minggu lalu, Encik Masagos Zulkifli juga berkata: “Program ini bertujuan melengkapi asatizah masa depan dengan pengetahuan dan kemahiran yang lebih luas, demi membimbing masyarakat selanjutnya.

 

Madrasah Aljunied kini merupakan sekolah IB yang diiktiraf justeru demi memenuhi keperluan program tersebut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata ia telah memperluas bilangan subjek yang ditawarkan.

 

Strategi memperkukuh sistem madrasah juga merangkumi program mempertingkat prasarana.

 

Encik Masagos Zulkifli berkata Muis telah menjalin kerjasama rapat dengan Madrasah Wak Tanjong dan Lembaga pentadbirnya yang baru untuk melaksanakan Pakej Bantuan Menyeluruh demi mengukuhkan pentadbiran dan program  pendidikannya.

 

Memandang ke hadapan, Muis juga merancang membantu golongan asatizah mempertingkatkan ilmu ekonomi baru serta berlandaskan konteks kehidupan masyarakat berbilang kaum.

 

Dalam hal ini, Muis akan menubuhkan sebuah Kolej Islam dan membentuk sebuah Jawatankuasa bagi Asatizah Masa Depan (Cofa). Jawatankuasa yang diterajui Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar) Dr Mohd Maliki Osman akan meneroka kemahiran yang diperlukan Asatizah di masa depan.

 

Strategi menyeluruh ini diharap dapat mempertingkatkan sektor agama di similar demi membantu membangunkan golongan Asatizah yang berupaya membimbing masyarakat Muslim dalam sebuah negara sekular yang mempunyai masyarakat berbilang kaum.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments