Kisah Inspirasi Masyarakat Yang Dahagakan Kejayaan

Santai @ Teh Tarik

Sebagai masyarakat minoriti yang hidup dalam sebuah negara sekular berbilang bangsa dan agama, masyarakat Melayu/Islam telah banyak mencapai kemajuan bukan hanya dari sudut akademik bahkan dalam bidang perniagaan, kesedaran tentang sekitaran dan agama.

Masyarakat Melayu/Islam penuh dengan contoh warga yang enggan menyerah kalah dan tidak rela berputus asa. 

 

Sumber: The Straits Times

Contohnya Encik Shahreyll Khairoullah, 24 tahun. Biarpun gagal menjadi doktor, beliau tidak pernah berpatah semangat mencari kejayaan dalam jurusan lain seperti bidang biologik dan proses teknologi.

Baru-baru ini, lulusan Politeknik Nanyang itu dipilih sebagai salah seorang di antara tiga pelajar di sekolahnya untuk menerima Anugerah Lee Kuan Yew Politeknik Nanyang yang berprestij.

Tidak kurang juga kisah warga yang pernah ‘terjatuh’ tetapi mempunyai semangat bangun semula – seperti Encik Noor Loic dan Encik Muhammad Firdaus Md Hair. Berasal daripada aliran Normal Akademik – kededua pemuda itu baru-baru ini dinobat antara pelajar terbaik Universiti Nasional Singapura (NUS).

 

Sumber: Berita Mediacorp

Encik Noor merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Mayflower yang sering menerima keputusan peperiksaan paling corot dalam kelas. Bukan itu sahaja, semasa di bangku sekolah beliau sering menghadapi masalah disiplin – hampir-hampir dibuang sekolah. Hanya selepas campur tangan guru disiplin, Encik Noor mula bertekad memperbaiki diri. Selepas tamat sekolah menengah Encik Noor melanjutkan pengajian ke Politeknik Singapura dan seterusnya ke NUS. Berkat kerja keras beliau kini berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Tertinggi dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran).

 

Sumber: Berita Harian Singapura

Kisah Encik Firdaus pula tidak kurang berinspirasi. Semasa keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) Encik Firdaus ketika itu kecewa hanya meraih 171 mata dan disalurkan ke aliran Normal Teknikal.

Namun bak kata pepatah menggenggam bara biar sampai jadi arang, Encik Firdaus tidak berputus asa. Dalam peperiksaan GCE O beliau berjaya meraih 12 mata, melayakkan beliau ke maktab rendah namun perjalanan menangani kurikulum akademik penuh liku dan beliau hampir tercicir kerana tidak dapat menyesuaikan diri. Mujur tekad dan semangat mengharungi cabaran terus mengalir dalam darahnya dan beliau akhirnya berjaya ke NUS dan kemudiannya meraih Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Tertinggi dalam bidang Sains Politik.

 

Sumber: Berita Harian Singapura

Selain pencapaian akademik, masyarakat Melayu/Islam juga peka akan isu sekitaran dan ehwal semasa. Lihat sahaja kisah Cik Farah Hidayati Sanwari, 30 tahun, pengasas Fitree, sebuah badan bukan meraih keuntungan yang memperjuangkan isu sekitaran dan mesra alam.

Enam tahun selepas ditubuhkan, Fitree berjaya meningkatkan kesedaran tentang isu sekitaran. Badan itu sejauh ini telah melaksanakan pelbagai projek dengan masjid dan badan lain supaya menggalak jemaah bersikap lebih mesra alam. Antaranya ialah menggalak penggunaan pinggan mangkuk bukan plastik yang mudah direput bakteria dan tidak menambah sisa.

Kisah-kisah di atas hanyalah segelintir contoh-contoh inspirasi masyarakat yang dahagakan kejayaan dan tidak kenal erti menyerah kepada nasib. Dengan menjelangnya Hari Kebangsaan Singapura, biar kisah anak muda tempatan kita terus membakar semangat generasi akan datang.

 

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments