Kenyataan Prof Fatimah Lateef tidak memuaskan

Hal Ehwal Teh-Kini, Sembang-sembang je

Anggota Parlimen GRC Marine Parade, Profesor Madya Dr Fatimah Lateef, telah memberi kenyataan tentang isu makanan halal di bazaar Geylang Serai melalui video ini. Ternyata, ramai netizen tidak berpuas hati dengan kenyataan ini kerana apa yang disampaikan tidak mengambil kira pandangan masyarakat Melayu-Islam.

Seperti ramai yang tahu, masyarakat Singapura yang sering ke Geylang Serai di bulan Ramadan, telah mengongsi ketidakpuasan mereka di media sosial tentang adanya banyak gerai yang tidak menjual makanan halal atau tidak dikelolakan oleh penjual beragama Islam.

Kenyataan Dr Fatimah dalam video ini hanya memberi penjelasan tentang tiga perkara:

1) Nama sebenar bazaar tersebut
2) Pilih makanan yang sesuai sahaja
3) Pentingnya mengongsi maklumat-maklumat tepat di media sosial

Pendapat TehTarik

1. Oleh kerana bazaar sebesar ini hanya diadakan pada bulan Ramadan dan pembeli sasaran adalah kaum Islam, nama bazaar ini dengan semulajadi dinamakan Bazaar Ramadan oleh orang ramai. Dah menjadi lumrah katakan, dan ini tidak boleh kita dinafikan walaupun ‘banner’ atau ‘contract’ ditetapkan dengan nama “Bazaar Geylang Serai”.

2. Masyarakat kita bersuara tentang masalah makanan halal hanya kerana mereka prihatin tentang kawasan Geylang Serai yang sememangnya kawasan tumpuan masyarakat Islam di Singapura sejak dari dulu lagi. Dulu, kita biasa berbuka di Geylang tanpa was-was dan tak perlu periksa setiap gerai pun. Tiba-tiba, tahun 2017, boleh dikatakan sukar untuk ada ‘kebebasan’ seperti ini sebab sana-sini ada penjual yang bukan agama Islam. Kesian pula makcik pakcik perlu tanya penjual di setiap gerai..”dik dik, ni halal tak?”

3. Apa kata kita asingkan gerai-gerai yang menjual makanan halal atau dikendalikan penjual beragama Islam, dan gerai-gerai yang tidak ada pengesahan makanan halal? Bukan ke ini lebih baik untuk pembeli-pembeli di bazaar itu?

4. Pendek kata, kami rasa pihak penganjur perlu mendengar pandangan-pandagan masyarakat. Mungkin tiba masanya untuk meneliti apa kata masyarakat Melayu-Islam, kerana siapa lagi yang ada rasa bangga dengan kawasan Geylang Serai selain kita, ye tak?

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments