Kekecohan berlaku gara-gara seorang pemandu membunyikan hon sewaktu solat Jumaat

Hal Ehwal Teh-Kini, Sembang-sembang je

Apa yang terjadi amat ngeri dan sekaligus menyedihkan. Sebuah video dari Johor Bahru, Malaysia menjadi viral di media sosial memaparkan kekecohan di perkarangan sebuah masjid selepas solat Jumaat semalam.

 

Sumber video: Buddin Sahaja 

 

Sumber video: Buddin Sahaja

 

Menurut orang ramai yang mengongsi video ini, pemandu dalam kereta tersebut asyik membunyikan hon keretanya apabila jemaah sedang menunaikan solat Jumaat. Video tersebut juga menunjukkan bahawa pemandu berbangsa Cina dikejar oleh jemaah masjid sebelum dia mencuba mengundurkan keretanya yang hampir melanggar jemaah yang cuba mendekatinya. Salah seorang jemaah juga dilihat menyerang pemandu dengan sebuah kon jalanan.

“Pemandu tersebut membunyikan hon keretanya selama dua hingga tiga minit. Ia amat kuat dan telah mengganggu kami yang sedang bersolat,” kata Muhammad Akmal Bakar, salah seorang saksi di lokasi.

Sementara itu, sebuah laporan daripada Malaysian Digest menunjukkan bahawa pemandu tersebut telah mengalami kecederaan di kepala dan badannya. Dia juga telah membuat laporan polis kerana dia mendapati amat sukar untuk memandu di depan masjid tersebut dan ini menyebabkannya untuk membunyikan horn kereta. Kelakuannya membuat sesetengah jemaah berang dan marah lebih-lebih lagi kerana ia berlaku sewaktu solat Jumaat.

Keadaan ini membuktikan bahawa perkara yang nampaknya kecil (seperti hon kereta) boleh mengakibatkan rusuhan yang berlebihan.

Mengapa ini boleh berlaku? Apa yang boleh kita pelajari daripada hal ini?

  1. Saling memahami

Pengguna jalan raya harus saling memahami waktu Jumaat itu penting untuk orang Islam dan elakkan daripada membunyikan hon kereta tanpa henti pada waktu itu. Tunggulah sedikit, pasti akan selesai.

 

  1. Letakkan kereta di tempat-tempat yang sesuai

Untuk para jemaah pula yang ke masjid dengan menaiki kenderaan masing-masing, kita boleh meletakkan kereta di tempat-tempat letak kereta yang sesuai supaya tidak menghalang pengaliran trafik dan pengguna lain.

 

  1. Pihak masjid boleh main peranan

Adakan warden jalanraya (sukarelawan daripada bangsa lain) yang boleh membantu menjaga trafik di luar masjid agar pengguna lain boleh dibantu atau trafik boleh dijaga. Jika masjid itu terletak di kawasan yang sangat sesak, ada baiknya mengambil bantuan trafik polis atau mencari jalan menyelesaikan masalah tempat meletak kereta kerana ia akan berlaku setiap Jumaat. Apakata pihak masjid boleh membuat notis di jalanraya agar agama lain juga tahu keadaaan kita yang sedang solat.

 

  1. Usah pukul dan hentam

Adakah ini yang diajar Islam? Walaupun orang berbangsa asing itu tidak faham keadaan kita, adakah dengan memukul dia akan menyelesaikan perkara ini. Perkara ini akan dijadikan contoh dan akan ditukil agama lain – adakah ini yang kita mahu? Kami faham agak sukar untuk mengawal perasaan pada waktu itu, tetapi rasanya macam tidak sesuai cara menghukum  orang itu dengan membelasahnya.

Mari kita tunjukkan contoh yang terbaik. Keharmonian kaum dan agama amat penting dalam kehidupan kita seharian. Sampai ke tahap mana toleransi kita?

Walaupun agama lain tidak memahami, jangan biarkan perkara sebegini membuat kita mengamuk lalu mencemarkan nama baik agama kita sendiri.

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments