Isu Sempadan Maritim dan Ruang Udara Jadi Tumpuan Singapura dan Malaysia

Hal Ehwal Teh-Kini

Pertikaian antara Singapura dengan Malaysia mengenai beberapa isu seperti sempadan perairan dan pengurusan ruang udara di Selatan Johor kian menjadi keprihatinan. Berikut rumusan isu yang menjadi pertikaian antara kededua negara.

 

ISU SEMPADAN PERAIRAN
Pada 1979 Malaysia mengeluarkan peta yang meluaskan perairan wilayah negara itu. Singapura secara konsisten telah menolak perbuatan tersebut.

 

Pada 25 Oktober 2018, Malaysia secara sepihak meluaskan batas pelabuhan Johor Bahru hingga memasuki perairan Singapura dekat Tuas. Peluasan pada 2018 itu lebih besar daripada tuntutan awal yang dibuat Malaysia pada 1979.

 

Singapura telah lama menegakkan kedaulatan dan meronda perairan itu tanpa sebarang bantahan dari Malaysia.

 

Sejak akhir November 2018, kapal-kapal kerajaan Malaysia mula mencerobohi perairan Singapura. Pemerintah telah mengemukakan bantahan rasami menyusuli perluasan dan pencerobohan itu.

 

Sebagai tindak balas terhadap tindakan provokatif Malaysia, pada 6 Disember 2018, Singapura memperluaskan had pelabuhan Singapura ke Tuas. Perluasan itu dilakukan Singapura mengikut undang-undang antarabangsa.

 

Pada 10 Disember 2018, Kementerian Luar Negeri Malaysia mengeluarkan kenyataan akhbar yang melahirkan komitmen mahu “mengambil segala langkah berkesan untuk mengendurkan keadaan di lapangan”. Namun di sebalik kenyataan ini, pencerobohan harian oleh kapal-kapal kerajaan Malaysia di perairan wilayah Singapura masih diteruskan.

 

Dalam konteks ini, Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan telah berjumpa Menteri Ehwal Luar Malaysia Saifuddin Abdullah pada 8 Januari 2019. Hasil pertemuan itu kededua negara bersetuju menubuhkan sebuah kumpulan kerja, yang diketuai oleh Setiausaha Tetap Kementerian Luar Negeri kita Encik Chee Wee Kiong dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia, Muhammad Shahrul Ikram Yaakob. Kumpulan kerja akan membincangkan perkara-perkara perundangan dan operasi untuk mengatasi keadaan di perairan Tuas. Mereka akan melaporkan kepada Encik Saifuddin dan Dr Vivian dalam masa dua bulan.

 

Namun sehari kemudian, pada 9 Januari 2019, Menteri Besar Johor Osman Sapian mengadakan lawatan ke kapal Jabatan Laut Malaysia (MMD) yang berlabuh di perairan Singapura di Tuas. Pencerobohan oleh Menteri Besar Johor itu dilihat sebagai bertentangan dengan semangat perjanjian antara Menteri Luar Saifuddin dan Dr Vivian.

 

Ia menjejas muhibah dan kepercayaan yang diperlukan untuk kerjasama lebih lanjut antara kededua negara, terutamanya kerjasama yang melibatkan Johor.

 

Singapura secara rasmi membantah pencerobohan tersebut melalui nota pihak ketiga (TPN) ke Malaysia, dan mencadangkan supaya Jawatankuasa Antara Menteri yang sepatutnya diadakan pada 14 Januari 2019, ditangguhkan. Malaysia bersetuju dengan cadangan ini.

 

Di sebalik kerumitan sekarang ini, Singapura masih mahu bekerja sama dengan Malaysia demi hubungan lebih baik dan kerjasama lebih rapat yang memberi manfaat kepada kededua belah pihak. Namun, kededua pihak mesti bertindak atas dasar percaya satu sama lain, mematuhi undang-undang dan norma antarabangsa, dan menghormati perjanjian yang sedia wujud.

 

Berhujah di Parlimen pada 14 Januari, Dr Vivian berkata Singapura percaya bahawa isu batas sempadan perairan boleh diselesaikan dengan baik melalui rundingan, bagi mencapai penyelesaian yang dapat diterima oleh semua pihak.

 

Sekiranya rundingan gagal, Singapura bersedia menggunakan prosedur penyelesaian pertikaian pihak ketiga antarabangsa yang sesuai. Namun Dr Vivian berkata penyelesaian pertikaian itu harus berdasarkan syarat yang dipersetujui oleh semua pihak.

 

Atas sebab-sebab itulah, Singapura telah memfailkan deklarasi di bawah Perkara 298 (1) (a) Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) pada 12 Disember 2018. Deklarasi ini bermaksud bahawa pihak negara-negara lain dalam UNCLOS tidak boleh secara sepihak memulakan timbangtara pihak ketiga atau pengadilan pihak ketiga.

 

Singapura juga tidak boleh secara sepihak memulakan timbangtara atau pengadilan pihak ketiga terhadap pihak negara-negara lain dalam UNCLOS dalam pertikaian tersebut. Ia perlu perjanjian bersama: Kededua pihak harus bersetuju dengan terma-terma timbangtara pihak ketiga atau adjudikasi sekiranya rundingan dua hala tidak berjaya.

 

 

ISU RUANG UDARA

 

Isu ruang udara timbul daripada bantahan Malaysia terhadap prosedur Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) baru yang dilaksanakan Singapura untuk Lapangan Terbang Seletar.

 

ILS adalah bantuan kepada juruterbang untuk mendarat dengan selamat di lapangan terbang semasa cuaca buruk dan keadaan penglihatan yang rendah.

 

Lapangan Terbang Seletar memenuhi keperluan relevan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengenai reka bentuk dan operasi lapangan terbang. Pesawat telah selamat masuk dan keluar dari Lapangan Terbang Seletar selama beberapa dekad, menggunakan laluan penerbangan yang sama.

 

Singapura memasang ILS di Lapangan Terbang Seletar atas permintaan Firefly, anak syarikat Malaysian Airlines. Firefly telah bersetuju memindahkan operasinya ke Lapangan Terbang Seletar pada 1 Disember 2018. Namun Firefly memaklumkan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) bahawa Penguasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memerlukan syarikat Malaysia itu hanya beroperasi ke lapangan terbang dengan pendekatan instrumen.

 

Justeru CAAS cuba memudahkan operasi Firefly di Seletar dengan memasang ILS – namun MalaysiA kini membantah pemasangan ILS itu.

 

Selanjutnya pada Disember 2017 CAAS cuba berhubung dengan CAAM mengenai pelaksanaan prosedur ILS di Seletar. Namun tiada respons diberikan Malaysia selama hampir setahun. CAAM hanya menjawab pada November 2018, dengan membantah buat pertama kali prosedur ILS yang dicadangkan. CAAM menukil kesan-kesan buruk ke atas pembangunan masa depan Pasir Gudang. Namun demikian CAAS menangani kebimbangan mereka.

 

Terdapat dakwaan bahawa laluan penerbangan ILS akan lebih menyekat ketinggian bangunan di bawahnya. Ini tidak benar. ILS tidak membebankan keperluan atau batasan tambahan yang menghalang Malaysia daripada membangunkan bangunan tinggi di Pasir Gudang, atau mengendalikan kapal-kapal tinggi di Pelabuhan Pasir Gudang.
Terdapat dakwaan bahawa Pasir Gudang tidak dapat menampung bangunan lebih tinggi daripada lima tingkat. Namun sebenarnya ILS tidak akan menghalang pembinaan struktur tinggi seperti yang didakwa oleh Malaysia. Singapura secara konsisten menyatakan bahawa jika Malaysia mempunyai sebarang rancangan baru untuk pembangunan, Singapura sedia berbincang dan menyesuaikan prosedur ILS jika perlu.

 

CAAS bertemu CAAM pada 29 November 2018 untuk menangani kebimbangan CAAM. Berikutan itu ia menerbitkan prosedur ILS untuk Lapangan Terbang Seletar pada 1 Disember 2018, selaras dengan tanggungjawab Singapura di bawah keperluan ICAO yang relevan serta pengaturan dua hala antara Singapura dan Malaysia.

 

Untuk memberi masa kepada masyarakat penerbangan membuat persiapan, ia menetapkan tarikh pelaksanaan ILS pada 3 Januari 2019, garis masa yang selaras dengan norma antarabangsa.

 

Dalam tempoh ini, pada 12 Disember 2018, CAAM terlebih dahulu mengeluarkan Notis Kepada Juruterbang (Notam) secara sepihak mengisytiharkan ruang udara Pasir Gudang sebagai kawasan operasi Kenderaan udara tidak berpandu (UAV) dari 13 hingga 28 Disember 2018. Notam kemudian dibatalkan pada 20 Disember 2018.

 

Selepas itu, pada 25 Disember 2018, CAAM mengeluarkan Notam yang lain mengisytiharkan Kawasan Larangan di ruang udara Pasir Gudang antara ketinggian 2,000 dengan 5,000 kaki, untuk “kegiatan ketenteraan” mulai 2 Januari 2019. Kawasan Larangan ini akan memaksa penerbangan beroperasi ke dan dari Lapangan Terbang Seletar ke lingkaran lebih tinggi dan ke bawah dekat dengan lapangan terbang untuk melintasi Kawasan Larangan pada 6,000 kaki.

 

Tindakan Malaysia melanggar prosedur ICAO yang telah ditetapkan. Di seluruh dunia, penerbangan bersifat tanpa sempadan. CAAS, sebagai penyedia perkhidmatan trafik udara untuk kawasan itu, tidak dimaklumkan dan tidak dirujuk walaupun tindakan ini menjejaskan operasi penerbangan awam dari Lapangan Terbang Seletar, memotong laluan penerbangan antarabangsa yang mantap, dan menjejas kecekapan dan keselamatan penerbangan.

 

Deklarasi Malaysia untuk Kawasan Larangan kekal menimbulkan apa yang pada awalnya merupakan perkara melibatkan prosedur ILS, norma untuk banyak lapangan terbang di seluruh dunia, menjadi isu lebih serius yang mempengaruhi semua penerbangan yang beroperasi di Seletar dari Utara. Ini tidak membantu penerbangan komersil di kawasan itu, dan seterusnya menjejas keseluruhan hubungan dua hala.

 

Di mesyuarat Menteri Luar pada 8 Januari, Menteri Saifuddin dan Dr Vivian bersetuju bahawa Singapura akan menggantung pelaksanaan prosedur ILS untuk Lapangan Terbang Seletar, dan Malaysia akan menggantung Kawasan Larangan kekal untuk tempoh satu bulan.

 

Penggantungan bersama itu berkuat kuasa pada tengah malam pada 9 Januari 2019. Ini membolehkan operasi biasa diteruskan di Lapangan Terbang Seletar, dengan kapal terbang dapat terbang dengan laluan penerbangan biasa mereka di ruang udara Pasir Gudang untuk masuk dan keluar dari Seletar. Malangnya, Firefly Malaysia masih tidak dapat beroperasi di Seletar kerana keperluan yang dikenakan oleh pengawal selia Malaysia.

 

Kededua Menteri juga bersetuju bahawa Menteri Pengangkutan dari kededua negara perlu bermesyuarat dengan segera untuk perbincangan mengenai kededua langkah itu. Menteri Pengangkutan kededua negara bersetuju untuk bertemu akhir bulan ini.

 

Menurut Dr Vivian Singapura akan melakukan yang terbaik untuk membincangkan semua isu dua hala yang luar biasa dengan Malaysia, dengan cara yang tenang, munasabah dan terfokus.

 

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments