Isu Mimbar Masjid Yusof Ishak: Mengapa tak bincang belakang tabir?

Hal Ehwal Teh-Kini

Seperti ramai yang sudah tahu, Masjid Yusof Ishak baru dibuka pada Jumaat yang lalu. Ia telah mendapat sambutan yang meriah dan ramai yang sudahpun ke sana. Namun begitu, sehari sebelum Masjid itu dibuka, masyarakat Singapura telah terdedah dengan pandangan seorang penulis, yang juga merupakan seorang arkitek, Encik Isa Kamari. Beliau menyuarakan pandanganya bahawa mimbar Masjid itu kelihatan seperti kemaluan lelaki. Beliau melahirkan pandangan itu di dalam Facebooknya pada 13 April lalu.

 

Ramai yang telah memberi maklum balas – ada yang menyokong, ada juga yang tidak menyokong. Mudah cakap, sesetengah anggota masyarakat mula dan masih berdebat tentang perkara ini.

 

 

Perkara ini juga telah mendapat reaksi beberapa ahli profesional seperti Encik Maarof Salleh – bekas presiden MUIS – yang meluahkan pandangannya secara terbuka di facebook:

Pada hari pelancaran Masjid Yusof Ishak, Encik Isa Kamari menaikkan beberapa pos serta cuba bertemu dengan Mufti Singapura untuk memberi pandangannya. Namun, beliau tidak dapat bertemu Mufti Singapura kerana Mufti dikatakan sedang sibuk mengendalikan tugasnya pada hari pelancaran Masjid Yusof Ishak.

Pada 16 April, Mufti Singapura, Dr Fatris Bakaram, telah membuat kenyataan mengongsi di FBnya (klik di sini untuk melihat pos yang penuh) dan berkata beliau dan pihak MUIS akan pertimbangkan maklumbalas ini selayaknya, katanya…

“Isu yang belum tuntas, inshaAllah akan ditangani sewajarnya.
Maklumbalas-maklumbalas mengenai minbar masjid adalah di dalam pengetahuan saya dan teman-teman di Muis.
Isu ini perlu diberikan pertimbangan yang selayaknya. Walaupun saya memegang jawatan mufti, tidak wajar untuk saya memberi respon atau membuat ulasan secara spontan, apatah lagi di ruang Facebook peribadi saya, memandangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan pembinaan masjid dan reka bentuknya melibatkan pelbagai jabatan, dari dalam dan luar Muis.
Saya bukan Muis, dan Muis bukan saya seorang.”

Beliau mengakhiri tulisannya dengan janji untuk bertemu Encik Isa Kamari.

TehTarik.sg serahkan kepada pakar-pakar yang terlibat untuk membincangkan rekabentuknya. Namun, ada perkara yang tidak kena dengan cara pandangan Encik Isa Kamari itu disuarakan kepada masyarakat dan admin ingin membuat beberapa komen:

  1. Mengapa Encik Isa Kamari tidak memberi pandangannya terus kepada Mufti (dan pihak Muis) dan  menyelesaikan perkara ini dibelakang tabir? Itu kan lebih baik dan lebih sopan kerana apa yang disuarakan itu sangat sensitif dan tidak sesuai kepada suasana hari Masjid Yusof Ishak dilancarkan. Mengapa perlu melepaskan pandangannya di facebook dan mengelirukan khalayak ramai pada hari sambutan baik membuka sebuah masjid? Tidakkah ini akan mempengaruh ramai di luar sana untuk memandang serong terhadap mimbar Masjid Yusof Ishak yang baru saja dibuka. Ini semua boleh dilakukan secara baik-baik dibelakang tabir. Mengapa perlu dilaung-laungkan perkara ini bila masyarakat sedang berasa syukur dengan tambahan sebuah lagi masjid di Singapura?
  2. Admin juga hairan mengapa ahli-ahli profesional yang menyokong Encik Isa Kamari juga menggunakan facebook untuk cuba memberitahu pihak Muis betapa pentingnya perkara ini. Kan lebih baik jumpa orang-orang di Muis tanpa kecoh-kecoh di facebook. Bukan kah mereka semua itu ahli profesional yang ada akses pada orang-orang di Muis – bukan tak kenal pun orang-orang kat Muis tu. Admin merasa ahli-ahli profesional yang terlibat harus menjadi contoh kepada masyarakat agar dapat membawa perkara seperti ini ketengah dengan lebih kelas lagi. Bukan heboh-hebohkan perkara ini di facebook. Mengapa perhatian yang meluas itu perlu? Angkat telefon atau emel saja dah cantik. Kenapa tak ada class? Lagipun benda yang dituduh tu bukannya kecil – nak cakap pasal kemaluan pun mesti ada malu sikit. Betul tak?
  3. Yang paling hairan sekali, mengapa melakukannya di saat masjid itu sedang dibuka dan diperkenalkan kepada masyarakat. Mimbar sudahpun dipasang – bukan boleh tukar suka-suka ya tak? Hari ini pasang, esok tukar… ini bukan lego. Ia memakan masa. Sabarlah. Jumpa lalu berbual dengan baik. Tak perlu kecoh. Nama baik Masjid Yusof Ishak kini dicemari dengan pandangan-pandangan yang tak elok.

 

Itu saja yang TehTarik.sg ingin ketengahkan. Bincanglah baik-baik dari mula lagi. Orang Melayu kan ada kesopanan – jadi jangan heboh-hebohkan pandangan di FB kalau sudah memang kenal dengan orang yang kita nak berikan pandangan kita tu. Cari mereka dan selesaikan perkara itu dengan cara yang terbaik.

Sekarang tak pasal-pasal ramai yang dah memandang serong kepada mimbar di Masjid Yusof Ishak – siapa yang nak tanggung fikiran serong atau lucah setiap kali mata memandang mimbar itu?

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments