Kisah Seorang Ibu Kehilangan Lebih $50 Ribu Akibat Penipuan Online

Hal Ehwal Teh-Kini

Minggu lepas, seorang pengguna Facebook Labina Fariah telah mengongsi pengalaman penipuan online yang terjadi kepada ibunya. Kisah menyayat hati itu menjadi viral dan dikongsi lebih 6000 kali di Facebook.

 

Menurut catatan Facebook Puan Labina Fariah, ibu beliau telah mendapat panggilan dari aplikasi “Viber”, dan lelaki yang menelefon beliau memperkenalkan diri sebagai pegawai bank DBS. Lelaki itu mengatakan bahawa akaun mangsa disyaki telah digodam dan ingin menyemak semula akaun mangsa. Sebelum ini, mangsa telah mengalami beberapa isu dengan aplikasi iBanking dan oleh yang demikian mempercayai bahawa lelaki tersebut dapat membetulkan masalah itu. 

Walaupun mangsa mempunyai rasa sangsi pada mulanya, lelaki tersebut berjaya mendapatkan mangsa untuk mendengar apa yang ingin dikatakan. Akhirnya, ibunya termakan dengan kata-kata lelaki tersebut lalu memberikan nombor akaun beliau serta nombor pin iBanking yang diberikan. 

Labina Fariah melaporkan bahawa wang simpanan ibu beliau lesap apabila ibunya memberitahu lelaki itu pin OTP yang diberikan, dan ibu beliau ditinggalkan dengan baki S$99 sahaja dalam akaun banknya.

Si mangsa menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila beliau mendapat e-mel yang menyatakan bahawa S$17,999.05 telah dipindahkan kepada seseorang bernama “Sunita”. Beliau menelefon anaknya dengan segera dan setelah mengemas kini buku bank beliau, mereka menyedari bahawa ibunya telah menjadi mangsa penipuan online. 

Secara keseluruhan, lelaki tersebut telah mencuri hampir S$55,000. 

Dalam post yang sama, Labina Fariah berkongsi bagaimana pemergian ayah beliau secara mengejut telah mengakibatkan keluarga beliau berada dalam masalah kewangan. Ibu beliau telah cuba sedaya upaya untuk mencari dan menjimat wang demi menyara kehidupan keluarga. Mereka tidak mendapatkan bantuan dari luar. Ibu beliau juga telah membiayai kos yuran universiti bagi abangnya. Labina Fariah meluahkan bahawa dia telah gagal sebagai seorang anak untuk membantu dan melindungi ibunya. 

Beliau juga meminta nasihat dan sokongan dari orang ramai tentang perkara ini. Beliau juga menambah agar sebagai anak, kita harus berusaha untuk mengambil tahu dan membantu ibu bapa kita yang mungkin kurang tahu tentang proses pemindahan wang secara online.  

Ramai juga yang turut berduka cita terhadap nasib ibu Labina Fariah…

 

Pengalaman Labina Fariah dan ibunya merupakan satu peringatan kepada orang ramai supaya jangan mudah percaya apabila berhadapan dengan situasi seperti ini. Dengan kemudahan Internet, kita juga harus sentiasa berwaspada dan berhati-hati supaya perkara ini dapat dielakkan. Akhir sekali, sebagai anak, kita juga harus membantu ibu bapa dan ahli keluarga yang kurang berpengetahuan tentang perihal online supaya mereka tidak menjadi mangsa seterusnya. 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments