Ibadah Korban Peluang Bagi Muslim Sebarkan Rahmah

Hal Ehwal Teh-Kini

Sebilangan  jemaah sudah memulakan perjalanan bagi menunaikan ibadah Haji tahun ini. Yang lain pula sedang menunggu giliran keberangkatan masing-masing. Semoga Haji mabrur bagi semua jemaah.

 

Bagi yang tidak berpeluang menunaikan Haji tahun, Aidiladha membuka peluang bagi mereka menunaikan ibadah korban.

 

Tahun ini sebanyak 3,700 kambing korban biri-biri dari Australia telah diimport dan akan dibawa masuk ke negara ini bagi ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha.

 

Seperti tahun lalu harga seekor kambing berharga $485. Jawatankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura (JKMS) baru-baru ini mengumumkan bahawa sejumlah 26 masjid akan menjalankan ibadah korban tahun ini. Selain 26 masjid itu, dua badan Melayu/Islam iaitu Persatuan Muhammadiyah dan Jamiyah akan turut menawarkan ibadah korban tahun ini.

 

Ibadah korban di negara ini sering mendapat perhatian, lebih-lebih lagi juga permintaannya melebihi bekalan kambing korban yang sediakan.

 

Tinjauan rambang menunjukkan kambing korban yang ditawarkan beberapa masjid telah habis ditempah. Sejak pendaftaran dibuka pada 3 Julai lalu, kambing korban di masjid berikut – Ar-Raudhah, Hang Jebat, Assyakirin, Al-Firdaus, Al-Khair, Al-Iman dan Al-Mukminin telah ‘Sold Out’.

 

Pelbagai Pilihan

Biarpun permintaan bagi kambing korban sering melebihi bekalan, Muslim Singapura beruntung kerana mempunyai pelbagai pilihan untuk menunaikan ibadah korban, misalnya mewakilkan firma melaksanakan ibadah itu di luar negara misalnya di Indonesia, Kemboja, Myanmar, hingga ke Palestin, Syria dan Somalia.

 

Salah satu darinya ialah firma Attawasol Insaniy. Firma itu mempunyai ladang penternakan kambing di Indonesia dan memiliki lebih 2,000 ekor kambing di ladang penternakan itu. Attawasol Insaniy menawarkan kambing korban pada harga $170 seekor.

 

Sebuah lagi firma, Jalaluddin Services menganjurkan khidmat korban di Makkah dan Indonesia pada harga $280 bagi kambing korban di Makkah, $200 bagi kambing korban di Indonesia.

 

Khidmat Nilai Tambahan

Ada khidmat korban di luar negara turut menawarkan khidmat nilai tambahan misalnya, firma Nur Insan yang menawarkan pakej tiga dalam satu. Selain menawarkan khidmat korban di luar negara, Nur Insan juga menggandingkan khidmat menyalurkan infaq kepada pelajar madrasah dan memberi pek makanan kepada keluarga yang memerlukan.

 

Ketelusan

Bagi mereka yang mahu melaksanakan ibadah korban di luar negara, dinasihatkan supaya memilih firma yang boleh dipercayai dan berpengalaman. Lazimnya, firma berkenaan diketuai seorang asatizah bertauliah dan dikenali ramai.

 

Pengguna juga boleh mendapat kepastian daripada penyedia khidmat tentang cara pengagihan dan bagaimana ibadah itu dijalankan mengikut syarat. Ketelusan tentang cara perlaksanaan ibadah korban dan pengagihan daging korban perlu diterangkan dengan jelas.

 

Dalam hal ini penyedia khidmat yang berpengalaman lazimnya sedia mendedahkan maklumat sedemikian. Sebagai contoh, ada firma yang menyediakan bukti foto, video haiwan yang dikorbankan serta mendokumentasikan proses pengagihan daging berkenaan.

 

Saksikan Ibadah

Bagi mereka yang menjalankan ibadah korban di tanah air, kelebihannya tentu sekali peluang menyaksikan bagaimana ibadah korban dilaksanakan di depan mata sendiri dan juga meninjau bagaimana daging korban dilakukan.

 

Namun tidak kurang juga warga yang sedia ke luar negara untuk menyaksikan sendiri ibadah korban dijalankan di sana.

 

Pokoknya, keinginan menunaikan ibadah korban yang tinggi dari tahun ke tahun menunjukkan ramai di kalangan Muslim Singapura berkeupayaan menyebarkan rahmah dan membantu golongan yang memerlukan, tidak kira di dalam mahupun di luar negara.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments