HDB Benarkan Pembeli Flat Simpan Hingga $20,000 Dalam CPF

Hal Ehwal Teh-Kini

Warga yang ingin membeli flat dengan memanfaatkan pinjaman HDB kini mempunyai lebih banyak fleksibiliti menggunakan simpanan Dana Simpanan Pekerja (CPF) mereka.

 

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) baru-baru ini melonggarkan syarat bagi penggunaan CPF dan membenarkan pembeli menyimpan sehingga $20,000 dalam Akaun Biasa (OA) jika mereka mendapatkan pinjaman HDB untuk membeli flat.

 

Sebelum ini pembeli dikehendaki menggunakan kesemua dana dalam OA dahulu sebelum pinjaman HDB boleh diluluskan.

 

HDB dalam kenyataannya berkata baki dana dalam simpanan boleh digunakan untuk membayar ansuran pinjaman dalam masa sukar dan boleh menambah keperluan bagi persaraan jika ia tidak digunakan.

 

Namun jika mahu, pembeli boleh menggunakan kesemua dana dalam OA dan meminjam baki yang diperlukan daripada HDB.

 

Rata-rata, langkah baru HDB ini perlu dialu-alukan. Ini kerana selain fleksIbiliti dalam penggunaan dana CPF, pembeli kini mempunyai lebih banyak pilihan.

 

Jumlah sehingga $20,000 yang kini boleh diketepikan itu boleh juga digunakan untuk membayar bayaran setem, bayaran guaman bagi pemindahan hartanah dan premium bagi insuran Skim Perlindungan Perumahan (HPS). Bermakna tidak perlu keluar poket bagi melunaskan bayaran sedemikian.

 

Namun ada yang mungkin mahu menyimpan sebahagian dana mereka dalam CPF demi menikmati kadar faedah simpanan yang lebih tinggi – sehingga 3.5 peratus setahun.

 

Ada pula yang mahu melunaskan pinjaman secepat mungkin bagi mengurangkan kos pinjaman – justeru mahu meminjam jumlah seberapa sedikit yang mungkin.

 

Kadar faedah bagi pinjaman HDB ialah 2.6 peratus.

 

Jika dibandingkan, kebanyakan bank pada masa ini menawarkan kadar faedah yang lebih rendah bagi pinjaman perumahan. Namun kadar itu boleh turun naik bergantung pasaran.

 

Bak kata pepatah tepuk dada tanya selera. Setiap warga wajar berbelanja mengikut kemampuan.

 

Dasar baru itu juga boleh dilihat sebagai cara menggalak warga memikirkan tentang rancangan persaraan.

 

Oleh kerana terdapat pelbagai syarat ketat dalam penggunaan CPF – pencarum tidak boleh sewenang-wenang mengeluarkan dana daripada akuan masing-masing – ramai yang melihat CPF sebagai dana perumahan dan mahu menggunakan sebanyak mungkin dengan membeli hartanah yang lebih mahal.

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

 

Comments