Halimah Yacob Dianggap Calon Paling Kukuh, Kata Penganalisis

Hal Ehwal Teh-Kini, Sembang-sembang je

Dua hari lalu, Speaker Parlimen Halimah Yacob berkata beliau sedang “menimbangkan” Pilihan Raya Presiden. Kini, beliau mungkin menjadi calon utama jika beliau benar-benar memutuskan untuk bertanding, menurut para penganalisis politik.

Mereka mengatakan para pengundi daripada berbilang kaum sudah pun mengenali dan mengetahui akan kelayakannya, jika dibandingkan dengan dua lagi individu yang ingin bertanding. Oleh itu, mereka perlu berusaha lebih gigih untuk mendampingi rakyat Singapura.

“Ini amat penting kerana keputusan Pilihan Raya Presiden yang diperuntukkan bagi calon Melayu bukan hanya bergantung kepada undi masyarakat Melayu saja,” kata Dr Mustafa Izzuddin, zamil di Institut ISEAS — Yusof Ishak.

Menurut pakar sains politik Universiti Nasional Singapura, Bilveer Singh, Cik Halimah mendapat sokongan kuat daripada para penduduk di kawasan undinya sejak memasuki politik lebih dari sedekad lalu dan beliau telah memenangi empat pilihan raya umum berturut-turut. Dr Singh juga menambah bahawa antara tiga inidividu ini, Cik Halimah boleh menjadi calon “paling kukuh” kerana rekod khidmatnya yang panjang selama 40 tahun dalam perkhidmatan awam.

Sumbangan Cik Halimah kepada gerakan buruh turut menempatkannya dalam kedudukan yang baik, dan beliau juga dilihat sebagai seseorang yang memahami penduduk dan berjiwa rakyat, kata Dr Alan Chong, seorang profesor madya di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS).

Namun begitu, Cik Halimah mungkin terjejas kerana hubungan beliau dengan parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat, kata para penganalisis, jika para pengundi mahukan seorang calon yang bebas daripada pemerintah.

Ada juga yang seperti mantan Anggota Parlimen Dilantik, Calvin Cheng, yang mempersoalkan kewibawaan Cik Halimah dalam bidang kewangan kerana beliau tidak mempunyai tanggungjawab dalam menguruskan “belanjawan bernilai berbilion dolar dan beratus-ratus hingga beribu-ribu kakitangan awam” seperti seorang Menteri Kabinet.

Reaksi netizen terhadap analisis ini berbelah-bagi:

  

Ada yang menyokong Cik Halimah sepenuhnya dan ada juga yang menarik perhatian pada apa yang akan terjadi jika beliau menjadi presiden.

Meskipun Cik Halimah belum lagi membuat sebarang keputusan muktamad, Encik Farid Khan Kaim Khan, 62 tahun, pengerusi penyedia khidmat marin, Bourbon Offshore Asia, dan Ketua Eksekutif Second Chance Properties Salleh Marican, 67 tahun, pada bulan lalu mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden yang dijangka diadakan pada bulan September, jika mereka dianggap layak untuk bertanding oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC).

Para penganalisis berpendapat beliau mungkin sedang mengambil masa untuk melihat siapakah bakal pesaingnyai, selain menilai reaksi orang ramai terhadap pencalonan beliau sebelum membuat keputusan.

Kita nantikan sahaja.

Sumber: BERITA MediaCorp dan TODAY

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments