Guna tipu helah untuk dapatkan seks jadi satu kesalahan?

Hal Ehwal Teh-Kini

Kanun Keseksaan di Singapura akan menjalani semakan, jika ia diluluskan Parlimen kelak, beberapa perbuatan seperti mengunakan helah untuk mendapatkan seks dijadikan satu kesalahan jenayah.

 

Menerusi usul pindaan itu, imuniti bagi kes rogol dalam rumah tangga akan dimansuhkan sementara perlindungan akan ditambah bagi kanak-kanak dan golongan dewasa yang lemah. Perbuatan bunuh diri pula tidak akan dianggap sebagai satu jenayah. Rang itu turut mengusulkan kesalahan-kesalahan baru demi menangani jenis-jenis jenayah yang muncul akibat kemajuan teknologi.

 

Saranan bagi pindaan itu hasil semakan selama dua tahun yang dibuat oleh Jawatankuasa Semakan Kanun Keseksaan (PCRC).

 

Jawatankuasa itu telah menyemak semula undang-undang yang terbabit dan mengemukakan saranan bagi pembaharuan pada Ogos lalu. Ia dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua bagi Kewangan dan Pendidikan, Cik Indranee Rajah, dan Setiausaha Parlimen Kanan bagi Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan, Encik Amrin Amin.

 

Kesemua saranan itu kemudian disiarkan dalam talian. Ini disusuli dengan sesi-sesi pendampingan untuk memperolehi maklum balas daripada lebih 700 pihak berkepentingan yang mewakili sektor perundangan, sosial, keagamaan, kewangan dan pendidikan.

 

Demikian menurut satu kenyataan media bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Ehwal dalam Negeri dan Kementerian Undang-undang pada Isnin.

 

Pemerintah sudah pun menimbangkan saranan-saranan dan maklum balas yang diterima dan bersetuju dengan kebanyakannya, menurut kenyataan itu lagi.

 

Pindaan terhadap Kanun Keseksaan itu akan mempunyai empat bidang tumpuan:

Pertama, mempertingkatkan perlindungan bagi mangsa-mangsa lemah.

Kedua, mengemas kini Kanun Keseksaan.

Ketiga, memberi kefahaman pada dasar-dasar am, penjelasan dan pembelaan dalam Kanun Keseksaan.

Keempat, menangani trend baru jenayah.

 

Ia juga akan menghapuskan kesalahan yang lapuk, memudahkan takrif kesalahan dengan membuang perbezaan yang tidak lagi relevan, menghapuskan kesalahan dalam Kanun Keseksaan yang telah pun ditangani di bawah undang-undang khusus dan mengemas kini rangka kerja hukuman, kata kementerian.

 

BERHENTI MENYIFATKAN PERCUBAAN BUNUH DIRI SEBAGAI JENAYAH

Salah satu saranan PCRC yang diterima pemerintah adalah supaya percubaan bunuh diri tidak lagi dianggap sebagai jenayah.

 

Menurut kenyataan itu, ramai yang memberi respons kepada saranan-saranan tersebut bersetuju bahawa individu yang cuba bunuh diri patut diberikan bantuan, bukan dihukum. Ada pula sejumlah kecil yang berpendapat bahawa jika percubaan bunuh diri tidak dilihat sebagai jenayah, ini “bercanggah dengan pandangan masyarakat yang menyifatkan setiap nyawa itu berharga”, tambah kenyataan itu.

 

Menjawab, pemerintah menyatakan bahawa pemansuhan percubaan bunuh diri “tidak bermakna bahawa (ia) sudah mengubah pendirian tentang kesucian nyawa”.

 

“Perbuatan membantu percubaan bunuh diri terus dianggap sebagai jenayah, sementara pindaan pada undang-undang lain menyediakan polis dengan kuasa untuk campur tangan demi mencegah kehilangan nyawa atau kecederaan dalam kes percubaan bunuh diri,” kata kementerian itu. Eutanasia, misalnya, masih merupakan jenayah.

 

Satu lagi saranan dalam Rang Pembaharuan Undang-Undang Jenayah adalah menaikkan usia minimum bagi kepertanggungjawaban jenayah (MACR) daripada tujuh kepada 10 tahun.

 

Menurut kementerian, terdapat sokongan untuk menaikkan had usia tersebut, tetapi terdapat juga pendapat yang berbeza tentang setinggi mana siling itu harus dinaikkan. Beberapa wakil sektor sosial merasakan bahawa MACR perlu dinaikkan kepada usia 12 tahun. Sebabnya, ini sejajar dengan cadangan Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Konvensyen tentang Penghapusan Diskriminasi terhadap Wanita, kata mereka dalam kenyataan itu.

 

Cadangan PCRC itu telah pun diterima pemerintah. Ini sekali gus menjadikan Singapura setara dengan bidang kuasa seperti England, Wales dan Hong Kong.

 

Salah satu sebabnya ialah “peningkatan ketara” dalam jumlah juvana yang melakukan kesalahan mulai usia 10 tahun mungkin memerlukan campur tangan polis, menurut kenyataan tersebut. Namun, ia tidak memberikan jumlah bagi peningkatan itu.

 

Bagaimanapun, perubahan itu hanya akan berkuat kuasa selepas Pemerintah menubuhkan rangka kerja pemulihan yang sesuai untuk menguruskan pesalah kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun, tambah kenyataan itu.

 

MEMBERHENTIKAN KESALAHAN “MENGHENDAP”

Pemerintah juga sedang menimbangkan untuk memperkenalkan satu kesalahan baru, iaitu memperolehi seks yang persetujuannya diperolehi melalui penipuan atau perwakilan palsu.

 

Kesalahan tersebut berlaku apabila seseorang berbohong tentang penggunaan atau cara penggunaan sesuatu peranti pelindung seks, atau berbohong tentang sama ada dia menghidapi penyakit kelamin (STD), kata kenyataan itu.

 

Dalam senario pertama, perbuatan itu kadang-kadang dikenali sebagai “menghendap”, yang melibatkan peranti pelindung, seperti kondom, ditanggalkan semasa hubungan seks. Disember lalu, seorang pegawai polis didapati bersalah ‘menghendap’ dalam satu kes yang dipercayai pertama kali didakwa di Jerman, menurut laporan media.

 

Bacaan kedua Rang Pembaharuan Undang-undang Jenayah dijangka dibentangkan pada Mei.

 

Kali terakhir Kanun Keseksaan Singapura disemak secara meluas adalah pada tahun 2007.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments