Empat Perubahan Baru Yang Buktikan Singapura Akan Menjadi Negara Bijak

Hal Ehwal Teh-Kini

Revolusi digital sudah bermula dan Singapura tidak akan dikecualikan. Sebanyak S$ 19 bilion diketepikan untuk tingkatkan kebolehan digital dan aplikasi-aplikasi terbaru dalam lima tahun akan datang.

Di Rapat Umum Hari Kebangsaan Ogos lalu, PM Lee juga mengatakan Singapura akan ambil langkah untuk berubah menjadi sebuah negara bijak.

 

APLIKASI PARKING.SG

Parking.sg kini dalam peringkat percubaan di beberapa tempat letak kereta Singapura. Tanpa gunakan kupon kertas, pemandu hanya perlu masukkan nombor unit kenderaan, pilihan tempat letak kereta yang digunakan dan jangka masa diperlukan. Pemandu boleh gunakan kad kredit atau debit untuk bayaran yang dikena. Jika pemandu tamatkan sesi letak kereta terlebih awal, wang berlebihan bagi jangka masa yang tidak digunakan akan dikembalikan. Kalau hendak panjangkan jangka masa yang diperlukan untuk letak kereta, pemandu boleh buat demikian dengan aplikasi itu tanpa perlu kembali ke kereta untuk letak kupon kertas.

 

BAYARAN TANPA GUNAKAN WANG

Di China, orang ramai buat pembayaran dengan kod QR melalui khidmat digital seperti WeChat Pay dan Alipay. Gerai-gerai di kaki lima pun gunakan cara ini. Di India pula, mereka galakkan bayaran tanpa wang untuk elakkan jenayah. Tetapi di Singapura… setiap enam dalam sepuluh bayaran di Singapura masih gunakan wang atau cek.

Dengar-dengar Alipay dan Razer akan adakan khidmat bayaran digital yang boleh digunakan di Singapura. Kalau betul, cara bayaran ini memang mudah dan kita tak perlu keluarkan wang lagi. Bayangkan pergi kedai kopi beli mee rebus dengan kod QR…senang kan? Tetapi ramai yang risau tentang isu keselamatan apabila gunakan dompet digital dan TehTarik harap pihak-pihak yang reka sistem digital akan ambil perhatian.

 

KACA MATA BIJAK DAN ROBOT PEMBERSIH DI LAPANGAN TERBANG CHANGI

 

SATS telah keluarkan sebanyak 600 kaca mata bijak yang gunakan teknologi ‘augmented reality’. Ia boleh dapatkan arahan muatan dengan cepat dan bantu para pekerja dalam ‘ramp handling operations’. Dulu, pekerja-pekerja SATS hanya gunakan kertas dan ‘walkie-talkie’ untuk komunikasi. Dengan kaca mata bijak ini, mereka boleh nampak penanda visual seperti kod QR di bagasi atau kontena kargo. Maklumat terperinci seperti berat kandungan, nombor unit dan bahagian kapal terbang yang dikhaskan boleh didapati dengan segara. Tanpa gunakan tangan, ini akan tingkatkan keselamatan dan kecekapan pelbagai proses. Masa menunggu untuk naik kapal terbang juga akan dikurangkan.

Selain itu, robot-robot bijak dalam gambar ini akan digunakan di terminal ke-empat lapangan terbang Changi untuk membersihkan kawasan sekeliling. Lebih banyak robot-robot akan dikeluarkan pada masa akan datang.

 

KOD QR UNTUK PAS PEKERJA

Mereka yang perlu periksa pas pekerja selalu melihat kepada tarikh tamatnya. Tetapi sistem pas ini tidak begitu sempurna. Contohnya, jika seorang pekerja sudah diberhentikan, ia tidak akan tertera di pas itu. Pada bulan September, pas pekerja baru dikeluarkan untuk memudahkan proses memeriksa status pekerjaan seseorang. Kad baru itu mengandungi kod QR yang boleh dikesan dengan aplikasi telefon bimbit – SGWorkPass.

 

Pasti ada yang rasa belum sedia lagi untuk ubah gaya hidup dengan kemudahan ini semua. Tapi jangan risau, kita akan belajar untuk sesuaikan diri secara tidak langsung. Kita dah pun berjaya lalui beberapa perubahan, seperti kad Ezlink. Warga emas pun boleh gunakan.

TehTarik yakin Singapura hanya akan menjadi semakin canggih dan cekap pada masa akan datang.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments