Disiplin Menabung Ke CPF Bantu Biayai Persaraan, Kos Perubatan

Hal Ehwal Teh-Kini

Antara punca utama bagi warga yang mengalami masalah kewangan ialah kegagalan menabung dan merancang perbelanjaan mereka.

 

Bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan, setiap negara mempunyai cara tersendiri menggalak warga menabung sebagai persiapan bagi masa-masa sukar.

 

Negara Denmark misalnya mempunyai skim pencen yang dibiayai oleh diri sendiri, pemerintah dan majikan. Warga Denmark layak menerima pencen daripada pemerintah namun ramai warga negara itu yang menyimpan wang dapat syarikat pencen – dan menerima pulangan selepas mereka bersara. Terdapat juga skim di mana majikan menyumbang kepada dana pencen pekerja.

 

Canada pula mempunyai Pelan Pencen Canada (CPP) yang memberi bayaran kepada pekerja dan keluarga mereka jika pekerja bersara, mengalami kecacatan atau kematian. Semua warga yang bekerja dikehendaki menyumbang kepada CPP – majikan menyumbang separuh, pekerja menyumbang baki separuh yang diperlukan.

 

Negara jiran Malaysia mempunyai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF) yang menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya melalui pengurusan simpanan mereka. Di bawah skim itu sebahagian daripada gaji pekerja dimasukkan ke dalam akaun EPF. Sumbangan tersebut terdiri daripada caruman pekerja dan caruman majikan dan dikira berdasarkan gaji bulanan pekerja. Bagi pekerja yang menerima gaji bulanan RM5,000 dan ke bawah caruman pekerja sebanyak 11% dipotong daripada gaji bulanan mereka, manakala majikan pula akan menyumbang sebanyak 13%. Bagi pekerja yang menerima gaji melebihi RM5,000 caruman pekerja kekal 11% manakala majikan menyumbang 12%.

 

Pemerintah Singapura juga mempunyai dasar kewangan yang menekankan disiplin jimat cermat dan dasar ini juga disalurkan kepada warga menerusi pelbagai skim seperti Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

 

Namun ramai yang masih kurang pasti tentang tujuan utama CPF dan pelbagai istilah yang berkaitan.

 

Berikut antara perkara yang perlu diketahui tentang CPF.

 

CPF adalah skim simpanan keselamatan sosial mandatori yang dibiayai oleh sumbangan daripada majikan dan pekerja. Ia merupakan tunggak utama dalam sistem keselamatan sosial Singapura, dan memenuhi keperluan persaraan, perumahan dan penjagaan kesihatan warga.

 

Saluran ini juga digunakan pemerintah membantu pekerja gaji rendah dengan menokok tabung CPF golongan tersebut menerusi skim seperti Workfare dan tokokan untuk MediSave untuk warga emas.

 

PERBEZAAN DENGAN SIMPANAN BIASA

 

Pemerintah menawarkan faedah lebih tinggi berbanding  kadar faedah yang ditawarkan bank dan institusi kewangan lain. Berbeza daripada simpanan peribadi di dalam bank, simpanan CPF mempunyai beberapa syarat dan tidak boleh dikeluarkan pada bila-bila masa. CPF hanya boleh digunakan mengikut syarat yang ketat seperti perumahan, perubatan, pendidikan dan persiapan persaraan.

 

AKAUN BIASA, AKAUN KHAS, MEDISAVE DAN MEDISHIELD

 

Terdapat 3 akaun utama dalam CPF bagi warga yang masih bekerja Akaun Biasa (OA), Akaun Khas (SA) dan Medisave.

 

Setiap bulan, anda (pekerja) akan menyumbang 20% ​​daripada gaji anda kepada CPF sementara syarikat anda (majikan) akan menyumbang 17%.

 

Dari 37% ini, 23% akan pergi ke OA anda, 6% SA anda dan 8% ke Medisave anda. Peruntukan ini akan kekal sehingga usia 35 tahun.

 

Akaun Medisave bertujuan membantu anda membiayai bil hospital yang tinggi. Sekiranya anda perlukan rawatan di hospital, anda dibenarkan menggunakan wang dari akaun Medisave anda untuk menampung bayaran hospital.

 

Oleh kerana kos perubatan dijangka semakin meningkat simpanan dan terdapat kemungkinan Medisave anda mungkin tidak cukup untuk membiayai kos perubatan bagi tempoh jangka masa panjang.

 

Atas sebab itu, pemerintah memperkenalkan Medishield, sebuah skim insurans nasional yang berupaya membantu anda membayar bil-bil hospital besar dan rawatan pesakit luar yang mahal, seperti dialisis dan kemoterapi untuk kanser.

 

Anda boleh menggunakan simpanan CPF untuk membayar premium Medishield yang ditawarkan syarikat insurans yang diiktiraf CPF.

 

AKAUN PERSARAAN (RA)

 

Memandangkan demografi penduduk yang semakin menua, pemerintah telah mengambil langkah awal menangani trend tersebut.

 

Apabila anda mencecah usia 55 tahun, Akaun Persaraan (RA) akan disediakan untuk anda. RA menggabungkan simpanan dari SA dan OA anda sebagai tabung persaraan anda. Berdasarkan jumlah RA, anda akan menerima pendapatan setiap bulan – lebih tinggi jika jumlah RA anda lebih tinggi.

 

CPF HAYAT

 

Perangkaan menunjukkan warga dijangka hidup lebih lama. Sekitar separuh warga Singapura yang berusia 65 tahun kini dijangka hidup menjangkau usia 85 dan satu pertiga daripada mereka akan hidup lebih dari 90 tahun. Oleh itu terdapat kebimbangan simpanan dalam RA tidak mencukupi untuk membiayai kehidupan warga dalam masa senja.

 

Justeru pemerintah memperkenalkan CPF Hayat, sebuah skim anuiti yang memberi anda bayaran bulanan untuk sepanjang hayat.

 

Anda akan diletakkan di CPF LIFE jika anda Warganegara Singapura atau Penduduk Tetap lahir pada tahun 1958 atau selepas, dan mempunyai sekurang-kurangnya $ 60,000 dalam Akaun Persaraan anda 6 bulan sebelum anda berumur 65 tahun.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments