Dakwaan Video Lucah Kaitkan Menteri Malaysia Jadi Sorotan

Hal Ehwal Teh-Kini

Penularan video seks sejenis yang dikatakan melibatkan seorang menteri kabinet Malaysia dengan seorang lelaki telah menggegarkan sekitaran politik Malaysia baru-baru ini.

 

Video agak gelap yang dikatakan dirakam di sebuah hotel di Sandakan, menunjukkan dua lelaki mengadakan perbuatan intim di atas ranjang.

 

Lebih menggemparkan, seorang pegawai perkhidmatan awam Malaysia, Muhammad Haziq Abdul Aziz, tampil memberi kenyataan bersumpah dengan mendakwa bahawa beliau salah seorang lelaki dalam video tersebut dan lelaki lain dalam video itu ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Azmin sekeras-kerasnya telah menafikan dakwaan itu sambil berkata ia permainan politik kotor oleh seteru yang mahu  mencemarkan reputasi dan keperibadiannya serta menjatuhkan dan memusnahkan kerjaya politiknya.

 

Azmin juga bertegas mahu mengambil tindakan guaman demi membersihkan namanya.

 

Skandal terkini bak ulang tayang peristiwa yang berlaku pada 1998 apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri didakwa melakukan hubungan sejenis dan dipecat oleh Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad.

 

Anwar kemudian didakwa atas tuduhan sodomi dan dipenjarakan. Selepas dibebaskan beliau menjadi pepimpin pembangkang yang kemudiannya mewujudkan gabungan Pakatan Harapan terdiri daripada parti-parti pembangkang Malaysia untuk menentang kerajaan Barisan Nasional.

 

Tahun lalu, Mahathir dan Anwar berbaik semula dengan berganding  bahu untuk menggulingkan Datuk Seri Najib Razak semasa Pilihan Raya Umum 2018.

 

Setelah Najib dan Barisan Nasional ditewaskan, Mahathir kembali dipilih sebagai Perdana Menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

 

Di bawah perjanjian Pakatan Harapan, Mahathir yang memimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjanji akan menyerahkan teraju kepimpinan kepada Anwar, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR). Namun Mahathir tidak menyatakan tarikh pasti bagi penyerahan kuasa itu.

 

Setelah berdekad bermusuhan, nampaknya masih sukar bagi Mahathir dan Anwar untuk berdamai. Mahathir kelihatan lebih cenderung mahu memilih Azmin sebagai penggantinya.

 

Awal bulan ini terdapat juga tanda-tanda perselisihan dalam kalangan pemimpin pakatan Harapan. Isunya berhubung pelantikan ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latifah Beebi Koya.

 

Pendedahan Mahathir bahawa beliau tidak berunding dengan Kabinet sebelum melantik ketua antirasuah baru itu mengundang kritikan, dengan pelbagai pihak menyifatkan perbuatan itu bertentangan dengan pembaharuan institusi yang dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan.

 

Pengkritik juga menyamakan perbuatan Mahathir dengan amalan bekas perdana menteri Najib, yang dikatakan melantik sekutunya dalam jawatan penting.

 

Anwar dilaporkan berkata Mahathir perlu menjelaskan pelantikan tersebut.

 

Selanjutnya biarpun berdepan video lucah itu, Mahathir bertegas mempertahankan Azmin, menyifatkan video itu bahan palsu yang direka untuk mencemarkan Azmin.

 

Tindakan Mahathir itu jelas berbeza daripada tindakan yang diambil ke atas Anwar pada 1998 apabila polis diarah menyerbu rumah Anwar dan memberkasnya. Anwar juga menerima layanan buruk semasa ditahan, termasuk dibelasah ketua polis ketika itu hingga menyebabkan matanya lebam.

 

Biarpun skandal kali ini serupa peristiwa 1998, namun perbezaannya, Mahathir yang kini berusia 93 tahun, memimpin parti yang tidak mempunyai bilangan besar dalam parlimen. Bahkan parti-parti di bawah Pakatan Harapan juga tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen – yang diperlukan jika pemerintah mahu meminda perlembagaan.

 

Ini bermakna kestabilan politik di Malaysia boleh menjadi semakin rapuh.

 

Usaha kerajaan Malaysia menumpu perhatian kepada usaha pembangunan negara dan mengutarakan naratif pembaharuan kelihatan tergugat oleh skandal video lucah dan ketidakpastian perubahan kepimpinan.

 

Dalam ekonomi mana-mana negara, ada dua perkara yang boleh menjejas ekonomi dan membuat pelabur menjauhkan diri – ketidakstabilan dan ketidakpastian.

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments