CareShield Hayat – Merancang Persiapan Jagaan Kesihatan Jangka Panjang

Hal Ehwal Teh-Kini

Cik Hamidah (bukan nama sebenar), 72 tahun sedang mengambil wudhu di dalam kamar mandi apabila warga emas itu tergelincir dan kepalanya terhentak lantai. Akibatnya tulang pinggulnya dan tangannya patah dan beliau tidak berupaya makan atau menggunakan tandas tanpa bantuan. Dalam keadaan sedemikian kos penjagaannya dijangka akan menambah beban keluarganya.

 

Bilangan warga emas seperti Cik Hamidah dijangka meningkat, sedang golongan muda yang boleh menyokong warga tua pula akan berkurangan di negara ini. Laporan Population Trends 2017 Jabatan Statistik Singapura menunjukkan bilangan warga Singapura yang berusia 65 tahun ke atas telah meningkat dari 220,000 kepada 440,000 pada tahun 2017. Kadar ini dijangka akan meningkat sehingga 900,000 menjelang 2030.

 

Kajian juga menunjukkan bahawa rakyat Singapura dijangka hidup lebih lama. 50% rakyat Singapura yang kini berusia 65 tahun dijangka hidup sehingga 85 tahun. Sepertiga pula mungkin hidup hingga 90 tahun.

 

Ramalan Kementerian Kesihatan (MOH) pula menunjukkan salah satu daripada setiap dua warga Singapura yang sihat sekarang ini, kemungkinan besar bakal mengalami masalah kehilangan upaya di penghujung hayat mereka.

 

Perubahan demografi dan keperluan masyarakat yang semakin menua bermakna terdapat keperluan penting membuat persiapan yang sewajarnya.

 

Salah satu cara pemerintah menangani isu ini ialah dengan mempertingkatkan skim insurans nasional Eldershield yang sedia ada. ElderShield menyediakan perlindungan kewangan asas bagi mereka yang mengalami penyakit yang mengakibatkan kehilangan upaya sehingga memerlukan kepada penjagaan jangka panjang.

 

Sebuah jawatankuasa semakan Eldershield telah dibentuk pada Oktober 2016. Awal tahun ini panel itu telah mengemukakan pelbagai saranan bagi mempertingkat  Eldershield dan pemerintah telah menerima saranan tersebut.

 

Bagi mempertingkatkan ElderShield, pemerintah akan memperkenalkan CareShield Life sebuah skim insurans nasional yang diwajibkan.

 

Menjelang 2020, CareShield Hayat akan diwajibkan bagi mereka yang berusia di antara 30 dengan 40 tahun.  Selepas itu, warga Singapura akan menyertainya secara automatik pada usia 30 tahun.

 

Skim baru ini menawarkan empat manfaat utama.

 

Pertama, anda akan menerima bayaran balik bulanan sepanjang hayat jika anda mengalami kecacatan teruk dan hilang keupayaan melakukan tiga kegiatan harian (seperti makan, mandi, pergi ke tandas, memakai pakaian, berjalan). Ini berbeza dengan ElderShield yang mempunyai had bayaran balik sehingga enam tahun.

 

Kedua, bayaran balik permulaan akan meningkat dari masa ke masa – dari $600/bulan pada 2020.

 

Ketiga, biarpun rakyat Singapura perlu membayar premium CareShield Life, pemerintah akan menawarkan subsidi kepada golongan yang memerlukan bagi memastikan premium kekal dimampui. Bermakna tiada sesiapa yang tidak akan mendapat perlindungan kerana mereka kurang mampu.

 

Dan keempat, premium CareShield Life juga boleh dibayar sepenuhnya menggunakan MediSave. Jadi tidak perlu keluarkan wang dari saku.

 

Biarpun CareShield Life banyak manfaatnya, malangnya ada suara-suara yang cuba memburuk-burukkan skim tersebut, kononnya pemerintah memperkenalkan CareShield Hayat untuk mengaup keuntungan.

 

Pemerintah menerusi laman web Factually menyangkal dakwaan sedemikian yang telah diedarkan menerusi wadah kiriman mesej.

 

Pesanan teks itu juga mendakwa risiko kehilangan upaya yang teruk adalah sangat rendah, jadi besar kemungkinan pemegang polisi tidak akan membuat tuntutan.  Namun, pemerintah memberi jaminan  bahawa ia tidak akan meraih untung daripada CareShield Hayat.

 

Pemerintah menjelaskan premium yang dikumpul dan pulangan daripada pelaburan akan kekal dalam dana itu agar pemegang polisi mendapat manfaat daripada pembayaran lebih tinggi atau rebat premium.

 

Ia menambah CareShield Hayat menawarkan pembayaran tunai sepanjang hayat bagi mereka yang kehilangan upaya atau kecacatan yang teruk.
Pembayaran diberi bermula daripada $600 sebulan pada 2020 dan akan dinaikkan selepas itu.

 

“Hari ini, premium dikumpul di bawah ElderShield adalah lebih banyak daripada tuntutan yang dibayar, kerana sebahagian besar pemegang polisi adalah agak muda. Tetapi premium dikumpul tidak menjadi lebihan belanjawan pemerintah.”

 

“Sebaliknya, ia bertujuan digunakan untuk tuntutan pada masa, apabila pemegang polisi lebih tua dan lebih ramai membuat tuntutan kerana kehilangan upaya yang teruk,” tambah laman web Factually itu.

 

Jika diteliti, CareShield Life mempunyai unsur penabungan.  Oleh kerana kos penjagaan kesihatan jangka panjang dijangka meningkat, adalah wajar bagi masyarakat digalak merancang dan menabung pada usia yang awal.

 

Ia juga usaha yang mendorong setiap warga membuat perancangan kewangan – demi menghadapi sekitaran masa depan yang tidak boleh diduga. Bahkan sifat berusaha dan berdikari juga merupakan prinsip yang ditekankan agama Islam.

 

 

Lima perkara tentang CareShield Hayat:

 

  1. Careshield hayat merupakan skim insurans nasional yang memberi perlindungan andainya warga mengalami kecacatan teruk atau hilang upaya yang teruk. Dimulakan pada 2020, CareShield Hayat akan diwajibkan bagi mereka yang berusia di antara 30 dengan 40 tahun.  Selepas itu, warga Singapura akan menyertainya secara automatik pada usia 30 tahun.
  2. Bayaran balik sepanjang hayat
    Selagi anda cacat teruk di mana anda tidak boleh melakukan sekurang-kurangnya 3 kegiatan harian seperti makan, mandi, memakai pakaian, berjalan, pergi ke tandas.
  3. Bayaran balik permulaan meningkat dari masa ke semasa – Dari $600/bulan pada 2020
  4. Pemerintah akan menawarkan subsidi khususnya bagi golongan berpendapatan rendah demi memastikan premium berpatutan.
  5. Premium boleh dibayar sepenuhnya menggunakan MediSave

 

Untuk maklumat lanjut, sila lungsuri www.careshieldlife.sg

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments