Beri lebih sokongan untuk para pemain muda bola sepak

Hal Ehwal Teh-Kini, Santai @ Teh Tarik

Kata Encik Kadir Yahaya, pemenang Piala Malaysia 1994 dan bekas jurulatih pasukan Singapura yang meraih pingat gangsa untuk Permainan Olimpik Belia, para pemain bola sepak harus dijaga sebelum sukan ini menjadi lenyap.

“Para pemain bola sepak boleh membawa kejayaan dan kegagalan sebuah liga. Jika ada pemain yang bagus, pasti ada peminat-peminat yang turun untuk menonton perlawanan bola sepak,” tambahnya.

Dia memberi komen ini setelah Channel NewsAsia memberi sebuah laporan yang menunjukkan bahawa pemain-pemain liga Singapura mendapat gaji kurang dari $3,000 setiap bulan dan tiada kepastian jika kontrak mereka akan diperbaharui. Disebabkan itu, beberapa pemain terpaksa mengambil pekerjaan sambilan untuk mendapatkan kewangan yang cukup.

Selain itu, Encik Kadir juga menegaskan bahawa pemain muda perlu ada seorang mentor dalam kerjaya ini. Ini disebabkan remaja-remaja berdepan dengan pelbagai masalah seperti tekanan sosial, kawan dan akademik. Kadangkala, mereka juga mempunyai tekanan daripada jurulatih masing-masing. Oleh itu, dia berharap presiden baru Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) akan mengurus para jurulatih untuk menjadi seorang mentor dan memberi bimbingan kepada pemain-pemain muda. Ini akan memberi sokongan untuk mereka berjaya dalam kerjaya ini.

Bagi TehTarik, kami setuju dengan kata-kata Encik Kadir. Dahalu, kita mempunyai beberapa personaliti bola sepak yang terkenal seperti Dollah Kassim dan Fandi Ahmad. Cakap sahaja nama, semua orang akan tahu. Ramai juga memberi sokongan yang meriah setiap kali perlawanan bola sepak berlangsung di kaca televisyen ataupun di stadium. Sekarang, masih ada yang menonton dan hadirkan diri di perlawanan bola sepak, tetapi sokongan tidak sehebat dan semeriah dahulu.

Kami harap FAS boleh memberi peluang supaya pemain-pemain bola sepak sekarang boleh berjaya seperti nama-nama terkenal dahulu. Mana tahu, ini akan menjadi peluang untuk sukan bola sepak menjadi hangat dan perbualan topik dalam masyarakat kita.

 

Sumber: Channel NewsAsia

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments