Bahasa Ibunda Penting Untuk Masyarakat Melayu?

Hal Ehwal Teh-Kini

Ramai anak Melayu zaman sekarang tidak fasih untuk bertutur dalam Bahasa Ibunda kerana terbiasa dengan Bahasa Inggeris. Masyarakat global juga sering memberikan tumpuan kepada Bahasa Inggeris kerana ia luas dipergunakan. Sebenarnya, fasih berbahasa Melayu ada manfaatnya. Ia bukan setakat satu keperluan dalam pendidikan sekolah rendah dan menengah.

 

Bahasa Melayu begitu penting kerana ia membentuk identiti kita sebagai seorang anak Melayu di Singapura. Jangan lupa, Bahasa Melayu juga adalah bahasa negara. Di mana kita hendak letak muka kalau warga berbangsa lain tuduh masyarakat Melayu tidak mengenal bahasa sendiri?

 

Singapura merupakan sebuah negara berbilang bangsa dan 15 peratus daripadanya merupakan kaum Melayu. Sebagai kaum minoriti, kita harus memperluaskan lagi penggunaan bahasa Melayu. Kalau kita tidak bangga dengan bahasa kita sendiri, bayangkan sahaja bagaimana kita dipandang rakyat berbangsa lain. (Malu juga kalau orang bangsa lain pandai pesan makanan di kedai kopi dalam bahasa mereka, tapi anak kita ‘speaking London’ kat makcik jualan…ye tak?)

 

Dengan penggunaan bahasa Melayu, kita dapat merapatkan hubungan antara anggota masyarakat Melayu kita juga. Setiap di antara kita mesti pernah mengalami situasi ini: Ingin berjenaka tentang kisah lucu yang didengar dalam bahasa Melayu tetapi apabila diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, ia tidak lucu langsung kerana maknanya berubah.

 

Bahasa Melayu ini indah. Ada peribahasa, ada pantun dan sebagainya. Kehalusan bahasa kita dalam menyampaikan sesuatu mesej atau pesanan adalah satu keunikan yang tidak boleh dinafikan.

 

Selain itu, kita boleh mendapatkan lebih peluang pekerjaan apabila kita mempunyai kebolehan berdwibahasa. Di Singapura, ramai yang fasih dalam bahasa pertama, iaitu bahasa Inggeris, dan juga bahasa ibunda mereka. Penguasaan bahasa ini satu aset yang patut diraih. Setiap syarikat pasti akan menghargai seseorang yang boleh berkomunikasi secara lancar dengan berbilang golongan masyarakat.

 

Kita boleh menjadi lebih proaktif untuk menguasai bahasa kita. Yang penting, usaha. Cuba baca berita dalam bahasa Melayu… Cuba dengarkan lagu-lagu Melayu yang lama… Cuba berbual dalam bahasa Melayu di rumah bersama keluarga…

Perkara-perkara kecil ini lah yang mampu membangunkan kefasihan bahasa Melayu kita. Bak kata pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit!

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments