Asatizah Lebih Daripada Sekadar Guru Agama

Hal Ehwal Teh-Kini

Suatu masa dahulu, ustaz atau ustazah lazimnya seseorang yang boleh diharapkan untuk memberi bimbingan dari sudut agama, dan tidak kurang juga yang memberi tunjuk ajar membaca muqadam atau al Quran.

 

Bak kata pepatah lain dahulu lain sekarang, golongan guru agama atau asatizah kini diperlukan untuk memberi bimbingan agama bukan hanya dari sudut syariah, fiqh atau tajwid sahaja.

 

Peredaran dunia Vuca (cepat berubah, tidak menentu, rumit dan tidak jelas) memerlukan golongan asatizah yang lebih pakar lebih bijak demi membantu masyarakat mengatasi cabaran yang lebih rumit.

 

Selaras dengan peredaran dunia kepakaran asatizah juga perlu dipertingkat menjangkaui bidang lain seperti penjagaan pastoral, bioetika, khidmat sosial, penyelidikan, keusahawanan dan juga sosio politik.

 

Justeru usaha Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) melakarkan program untuk membangunkan asatizah yang ‘profesional’ perlu disokong.

 

Pengerusi COFA Dr Mohamad Maliki Osman semasa ditemui media baru-baru ini menekankan peri penting usaha memastikan asatizah kekal relevan dan dapat berdepan dengan cabaran semasa seperti ketidaktentuan ekonomi global dan saluran maklumat tanpa batasan.

 

Beliau juga melahirkan harapan kepakaran golongan asatizah dapat dipertingkatkan. Cofa menurut beliau akan mengkaji cara mempertingkat tenaga kerja asatizah sejajar dengan doktor dan peguam.

 

Dalam hal ini golongan asatizah sendiri perlu menerima hakikat dunia telah banyak berubah, selain mempunyai kepakaran dalam bidang agama, mereka juga perlu mempertingkat kepakaran dalam bidang lain.

 

Melihat kerjaya profesional lain seperti bidang kedoktoran, guaman dan kejuruteraan, pembangunan profesional merupakan sesuatu yang ditekankan dalam kerjaya tersebut.

 

Misalnya, di bawah Akta Jurutera Profesional, seorang jurutera profesional yang terdaftar dikehendaki memenuhi syarat pembangunan profesional berterusan (CPD) sebagai kriteria memperbaharui sijil mereka. Begitu juga dengan para doktor.

 

Bagi membantu golongan asatizah membangunkan keupayaan profesional secara berterusan, pelbagai usaha telah dilakar dan akan dilaksana.

 

Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) telah diperkenalkan. Skim itu menuntut setiap asatizah dan guru ngaji berkelayakan akademik; dan bersesuaian mengajar, mengikut piawaian yang ditentukan Muis dan Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB). Selain menuruti Kod Etika ARS, mereka juga perlu menjalani latihan selama 10-30 jam bagi tempoh tiga tahun, menerusi program Pendidikan Profesional Berterusan (CPE).

 

Satu lagi usaha ialah penubuhan Kolej Islam Singapura (SIC) sebagai institut pengajian Islam setempat akan membangun pemimpin Islam dan guru agama yang bersandarkan tradisi Islam dalam konteks Singapura.

 

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan turut memperkenalkan Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS). Program ini perlu diambil graduan agama dari institusi luar negara sebelum mereka mendapat pentauliahan ARS.

 

Program setahun itu bertujuan beri konteks pengamalan Islam di Singapura dan menambah keupayaan asatizah dalam bidang di luar sektor agama, termasuk kerja sosial, keusahawanan dan kaunseling.

 

Dalam pada itu, Muis dan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Singapura (Pergas) juga sedang bekerjasama demi pertingkat keupayaan asatizah menerusi Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

 

Di bawah kerjasama itu Muis memperuntuk geran $615,000 bagi program Pendidikan Profesional Berterusan (CPE) yang akan dijalankan pada 2018 dan 2019 untuk asatizah.

 

Selain itu, Muis juga menganjurkan Program Pelawat Cemerlang yang membuka peluang bagi masyarakat Islam mendengar ceramah daripada ulama Islam terkenal dari serata dunia bagi meraih manfaat pengetahuan dan kebijaksanaan individu-individu sedemikian.

 

Melihat pelbagai skim dan bantuan yang disediakan, golongan asatizah wajar merebut segala peluang yang disediakan.

 

Golongan itu juga perlu bijak memanfaatkan peluang yang disediakan dalam ekonomi baru misalnya menggunakan media sosial demi mendekati, membimbing masyarakat.

 

Antara contoh yang menarik ialah Liyana Musfirah Network yang diasaskan oleh Ustazah Liyana Musfirah. Menerusi wadah tersebut, beliau menganjurkan pelbagai bengkel serta kursus dalam pendidikan Islam. Wadah itu juga mengetengahkan asatizah serta golongan karyawan lain  dalam membincangkan isu-isu wanita masa kini.

 

Melihat peluang yang disediakan ini, kerjaya asatizah kelihatan cerah. Dengan adanya golongan asatizah profesional, masyarakat bukan hanya berupaya mengharapkan bimbingan ukhrawi bahkan bimbingan melayari cabaran dunia yang semakin rumit.

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments