SENTAP! – APAKAH SEMPADAN KAMERA HABA?

Hal Ehwal Teh-Kini, Sembang-sembang je

GOLONGAN PEROKOK di Singapura telah dikejutkan baru-baru ini dengan berita tentang Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) yang telah mengesan seorang perokok yang merokok di kawasan koridor di sebuah blok di Bedok Reservoir.

 

Ia telah mencetuskan perbincangan yang hangat di media sosial. Wargamaya secara amnya mengalu-alukan tindakan NEA untuk memasang sekurang-kurangnya 70 kamera haba di kawasan perumahan dan tempat-tempat lain. Mereka bersetuju bahawa perokok bertanggungjawab mencemarkan udara di sekitar mereka dengan asap rokok yang merbahaya.

 

Kajian telah mengesahkan dan membuktikan bahawa asap rokok boleh menjejas mereka yang tidak merokok dengan masalah kesihatan yang sama atau lebih teruk daripada perokok itu sendiri.

 

Namun, NEA telah bertindak hanya kerana terdapat aduan daripada orang awam. Menurut NEA, mereka telah menerima sebanyak 13 aduan mengenai kegitan merokok di ruang koridor di blok yang terlibat. Berdasarkan rakaman kamera haba tersebut, NEA telah memberikan tempoh untuk pemilik flat tersebut membantu dalam siasatan mereka untuk mengenalpasti perokok yang dimaksudkan.

 

Denda tidak melebihi $2000 boleh dikenakan kepada pemilik flat bagi kesalahan pertama di bawah Seksyen 4B, Akta Merokok (Dilarang di Tempat Tertentu). Butir-butir lanjut boleh didapatkan di sini: https://sso.agc.gov.sg/Act/SPCPA1992

 

Ada segolongan wargamaya yang tidak berpuas hati dengan tindakan NEA. Mereka membuat perbandingan dengan asap dan pencemaran udara daripada kenderaan dan lalulintas. Ada pula menyalahkan mereka yang telah membuat pengaduan kepada pihak NEA lalu melibatkan mereka untuk menjalankan operasi tersebut. Malah, ada yang mengatakan bahawa NEA hanya membazirkan wang dengan pelaburan kamera-kamera haba. Tindakan NEA terlalu ketat, kata mereka.

 

Ada beberapa kes lain di sekitar Singapura di mana perokok telah disaman oleh pegawai-pegawai NEA hanya kerana kesalahan-kesalahan yang dianggap remeh dan kecil. Seorang perokok misalnya telah didenda $200 kerana kaki kanannya di luar petak kuning yang telah dikhaskan sebagai kawasan untuk merokok.

 

Malahan, sepanjang Orchard Road telah dikhaskan sebagai kawasan bebas merokok sejak Januari 2019. Perokok hanya dibenarkan merokok di dalam lebih kurang 40 kawasan yang telah dikhususkan. https://www.nea.gov.sg/ORNSZ

 

Namun, di kalangan mereka atau ahli keluarga dan teman-teman yang telah menjadi mangsa akibat pencemaran asap rokok walaupun tidak merokok amat mengalu-alukan langkah ini.

 

Dengan peraturan-peraturan yang begitu ketat untuk mencegah perokok yang tidak bertanggungjawab, apakah penggunaan kamera haba telah menceroboh sempadan hak peribadi setiap individu di Singapura?

 

Tindakan hanya akan dibuat setelah pihak NEA menerima aduan daripada orang awam, seperti dalam contoh kes ini. Malah, ia tidak seteruk kes-kes saman akibat meletakkan kenderaan sebarangan di jalan raya atau di tempat-tempat meletak kereta!

 

Jika dilihat dari satu sudut kesihatan, kita merupakan salah satu negara yang begitu bersungguh-sungguh menjalankan kempen untuk meningkatkan mutu kesihatan rakyatnya. Harga sekotak rokok secara purata $13 masih bukan merupakan harga yang termahal jika dibandingkan dengan harga di Australia (sekitar $30), namun tetap lebih mahal daripada harga di Malaysia (sekitar $6).

 

Nasib golongan perokok semakin tertekan. Mungkinkah sudah tiba masanya untuk berhenti merokok sepenuhnya? Mengapa tidak?

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments