Apa Anda Perlu Tahu Tentang Rapat Umum Kebangsaan 2017

Hal Ehwal Teh-Kini

Di Rapat Umum Kebangsaan tahun ini, Perdana Menteri Lee Hsien Loong telah menghuraikan tiga isu negara:

1) meningkatkan pendidikan prasekolah
2) mengatasi kencing manis dan
3) membentuk Negara Bijak

 

Meningkatkan Pendidikan Prasekolah

 

Pemerintah akan menambah tempat di prasekolah sebanyak 30 peratus atau 40,000 tempat dalam masa lima tahun akan datang.

 

Pusat Tahun Awalan (Early Years Centre) akan disediakan untuk kanak-kanak antara usia 2 bulan hingga 4 tahun dan dibina di estet perumahan HDB yang baru. Untuk kanak-kanak berusia antara 5 dan 6 tahun, 50 sekolah tadika MOE akan disediakan dalam jangka masa yang sama juga.

 

PM Lee mengatakan bahawa ini akan membantu ibu bapa yang bekerja, dan yang tidak dapat meninggalkan anak-anak di rumah atau untuk dijaga datuk dan nenek mereka.

 

“Kita juga sedang mempertingkat kemahiran guru prasekolah, supaya mereka mendapat latih dan kerjaya yang lebih baik,” tambah beliau lagi.

 

Sebuah institut latihan, bernama Institut Nasional Pembangunan Awal Kanak-kanak

(NIEC), akan ditubuhkan untuk menggabungkan program-program latihan dari dua politeknik, ITE dan institut SEED.

 

 

Mengatasi Diabetes

 

5 antara 10 anggota masyarakat Melayu menghidapi kencing manis.

 

Penyakit ini tidak boleh disembuh dan hanya boleh dikawal. PM Lee menggalakkan rakyat Singapura menjaga kesihatan melalui gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan dan senaman.

 

Mulai September ini, Menteri Kesihatan akan adakan khidmat pemeriksaan kesihatan dengan hanya $5 sahaja untuk rakyat Singapura berusia lebih dari 40 tahun. Ini jauh lebih rendah berbanding harga biasa yang melebihi $100.

 

“Kerana ramai yang tidak merisaukan tentang kencing manis, sebab itu lah saya rasa risau. Ini telah menjadi masalah serius,” ujarnya lagi.

 

Beliau mendedahkan bahawa semua pengeluar minuman ringan telah setuju untuk mengurangkan kandungan gula dalam minuman mereka.

 

Membentuk Negara Bijak

 

PM Lee ingin Singapura gunakan IT sepenuhnya untuk beri peluang dan pekerjaan bagi semua rakyat Singapura.

 

Ramai pelajar Melayu di universiti, politeknik dan ITE sedang mengikuti kursus teknikal seperti kejuruteraan sofwe, sains data dan seni digital.

 

Bagi mereka yang sudah bekerja, pemerintah akan menyokong mereka untuk tingkatkan diri melalui SkillsFuture.

 

Selain itu, sebuah aplikasi telefon, parking.sg, akan dilancarkan pada Oktober ini. Pemandu kenderaan tidak perlu menggunakan kupon meletak kereta lagi. Aplikasi itu juga akan memberi isyarat jika masa meletak kereta akan habis dan jika pemandu itu perlukan lebih masa, dia boleh menambahnya menggunakan aplikasi itu tanpa perlu kembali ke kereta untuk meletak kupon yang baru. Wang juga akan dikembalikan jika pemandu itu gerakkan keretanya terlebih awal dari jangka masa yang dipilih.

 

“Negara Bijak adalah untuk kita semua, yang muda dan tua. Dunia sedang berubah. Jika kita tidak ikut berubah, kita akan ketinggalan,” kata PM Lee lagi.

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments