Allahyarham Bintang-Bintang Juga Terjejas Dalam Langkah Penggalian Kubur

Hal Ehwal Teh-Kini

Ramai pengasas negara ini dikebumikan antara 1946 dengan 1978 dan kubur-kubur mereka telah digali semula pada fasa yang lebih awal. Antara kubur-kubur yang terjejas dalam penggalian semula di Tanah Perkuburan Choa Chu Kang yang diumumkan baru-baru ini ialah kubur-kubur bintang bola sepak ikonik Singapura Almarhum Dollah Kassim dan mantan ahli politik yang dikenali dengan kerja-kerja anti-dadah, Almarhum Harun Ghani.

Almarhum Dollah Kassim atau nama sebenarnya Abdullah Mohamed Kassim, meninggal dunia pada Oktober 2010. Kuburnya dihiasi dengan bunga-bunga merah dan batu-bata melambangkan stadium bola.

Almarhum digelar “Raja Gelek” kerana beliau mahir menggelecek bola. Beliau mewakili Singapura antara 1968 dengan 1981 dan menjadi seorang lagenda yang dihormati ramai pada tahun 1970-an. Pada Oktober 2009, beliau mengalami sakit jantung. Almarhum meninggal dunia pada usia 61 tahun selepas koma selama setahun.

 

Sumber Gambar: Facebook / Sukhvinder Raje

 

Almarhum Encik Harun Ghani, mantan Anggota Parlimen dan Setiausaha Politik Kementerian Ehwal Dalam Negeri, juga terjejas dan akan digali semula pada masa akan datang selepas mencecah tempoh pengebumian 15 tahun.

Beliau terkenal dengan usahanya memerangi dadah di kalangan masyarakat Melayu. Beliau merupakan pengasas kepada sesi “jumpa keluarga”, satu komponen utama dalam kerja-kerja pemulihan penagih dadah.

Almarhum meninggal dunia pada usia 66 tahun pada bulan Ogos 2005. Pada tahun yang sama, sebuah dana pendidikan bagi membantu keluarga-keluarga penagih dadah didirikan atas namanya demi mengenang jasa Almarhum.

Sumber Gambar: Facebook / Haslinda Putri Harun

 

80,500 kubur orang Islam dan Cina akan digali semula secara bertahap-tahap bagi projek peluasan Pangkalan Udara Tengah. Sebanyak 35,000 kubur orang Islam di Pusara Abadi terjejas. Kubur-kubur ini bertarikh dari tahun 1955 hingga tahun 2000.

Proses menjalani mendaftaran untuk dituntut akan bermula bagi 5000 kubur orang Islam dan 45,000 kubur orang Cina pada bulan September akan datang. Buat fasa pertama, 5000 kubur orang Islam di dua blok Pusara Abadi akan digali semula pada suku keempat tahun depan. Kesemua kubur itu sudah memenuhi tempoh pengebumian selama 15 tahun.

Sebilangan keluarga sudahpun meminta penjelasan dari Agensi Sekitaran Kebangsaan dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengenai penggalian kubur saudara mara mereka. Aktivis pelestarian warisan, Encik Raymond Goh, menggesa pihak berkuasa supaya bekerjasama dengan pihak keluarga yang terjejas, demi membuat pendokumentasian sebelum kubur-kubur berkenaan digali semula.

Sumber: TODAY & Berita Mediacorp

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments