Ajaran Yayi: Respons Masyarakat Terhadap Amalan Mencurigakan

Hal Ehwal Teh-Kini

Laporan tentang sekumpulan individu yang mengamalkan Ajaran Yayi menjadi keprihatinan umum baru-baru ini. Video amalan tersebut serta foto dan identiti pengikut amalan tersebut tersebar luas di WhatsApp dan media sosial.

 

Ia memberi sorotan kepada isu amalan agama yang menyeleweng dan cara masyarakat menanganinya.

Pengasas utama Fahaman Yayi, Parida Jayos. (Gambar: Lebai Kampung/Facebook)

 

Markas di Singapura. (Gambar: Lebai Kampung/Facebook)

 

Markas di Johor. (Gambar: Lebai Kampung/Facebook)

 

Berdasarkan mesej WhatsApp dan kiriman di media sosial, ramai yang menyifatkan kumpulan itu sebagai mengamalkan ‘ajaran sesat’. Terdapat pelbagai reaksi yang diutarakan. Ada yang berpendapat warga siber tidak seharusnya menyebarkan foto, identiti dan alamat kumpulan tersebut. Ada juga yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kumpulan tersebut.

 

Dalam perkara yang berhubung agama, masyarakat Muslim Singapura mempunyai penguasa yang bertanggungjawab mengambil langkah yang sewajarnya.

 

Justeru tindakan wajar bagi masyarakat apabila menghadapi  isu  berhubung agama adalah melaporkan atau merujuk kepada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS)  – bukan mengheboh-hebohkannya menerusi media sosial.

 

Jelas MUIS telah mengambil tindakan. Bahkan sejak awal tahun ini Jawatankuasa Fatwa MUIS telah mengadakan perbincangan mengenai isu itu.

 

Jawatankuasa itu juga telah mengadakan pertemuan dengan individu serta pengikut fahaman tersebut dan menasihatkan individu berkenaan itu supaya menghentikan ‘segala kegiatan rawatan demi menutup ruang yang boleh membawa kekeliruan dan penyelewengan akidah’.

 

MUIS juga menegaskan bahawa rawatan ruqyah yang sahih hanya boleh dilakukan apabila seorang itu mempunyai latarbelakang pendidikan agama yang luas dan kukuh.

 

Masyarakat Islam Singapura juga mempunyai satu lagi sumber rujukan bagi isu melibatkan agama – golongan asatizah yang bertauliah lagi terpelajar.

 

MUIS misalnya telah memperkenalkan Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) bagi manfaat umum – khususnya membantu masyarakat yang mahu berguru agama dan mengenal pasti asatizah yang bertauliah.

 

Selain ARS, laman MUIS juga padat dengan ilmu bermanfaat. Sebagai contoh, laman web MUIS ada menyiarkan panduan tentang ciri-ciri ajaran yang menyeleweng.

 

Satu lagi keperluan membina daya tahan dan memperkukuh pendidikan agama. Semakin ramai dalam kalangan masyarakat kini terpelajar dalam bidang sekular mahupun agama. Masyarakat juga tidak kurang peluang mendalami pendidikan agama daripada asatizah yang bertauliah. Golongan kurang mampu juga mempunyai peluang mendapatkan pendidikan agama dengan memanfaatkan subsidi atau pertolongan yang ditawarkan MUIS.

 

Berdasarkan pendidikan yang telah diraih serta sumber yang ada disediakan, masyarakat berupaya membezakan pengajaran yang betul daripada yang menyeleweng.

 

Dalam menangani isu sebegini, juga perlu kita renungkan respons masyarakat sejauh ini sambil memikirkan respons bagi masa hadapan.

 

Apabila berdepan dengan berita yang berkontroversi, apakah tindakan yang wajar kita ambil?

 

Sebelum kita menyebarkan sesuatu berita, sudahkah kita memastikan kesahihan fakta yang ada dalam tangan kita – atau kita sekadar mahu menyebarkannya secepat mungkin kepada rakan dan kenalan tanpa memastikan kesahihan berita tersebut.

 

Bagi golongan yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas ke atas pengamal Ajaran Yayi, perlu diingatkan sebagai negara sekular, Perlembagaan Singapura menjanjikan kebebasan beragama.

 

Perlembagaan juga tidak menetapkan jenis agama yang wajar dianuti rakyat Singapura. Selain agama Islam, terdapat juga pelbagai agama lain yang dianuti masyarakat di negara ini.

 

Selagi amalan agama tidak melanggar sebarang undang-undang negara, rakyat bebas mengamalkannya.

 

Dalam isu Ajaran Yayi, pengamalnya mungkin boleh membawa kekeliruan dan penyelewengan akidah agama Islam. Namun perlu ditekankan juga tiada bukti sejauh ini yang menunjukkan pengamal ajaran itu telah melanggar sebarang undang-undang negara.

 

Justeru, ada juga pihak yang memberi hujah bahawa pengikut Ajaran Yayi sekadar mengamalkan kebebasan mereka beragama.

 

Dalam menangani isu fahaman atau ajaran yang berbeza, reaksi masyarakat tidak harus bersifat mengheboh-hebohkan. Masyarakat mempunyai pelbagai sumber rujukan terdiri daripada penguasa, asatizah dan pangkalan maklumat yang membolehkan kita membuat penilaian yang sewajarnya.

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments