Ada Musollah Berhampiran Tapi Masih Mahu Solat Tepi Tangga

Sembang-sembang je

Berbanding negara lain, rakyat Singapura bukan hanya mempunyai kebebasan beribadah bahkan penganut agama di sini juga mempunyai pelbagai kemudahan melaksanakan ibadah masing-masing.

 

Di Geylang misalnya, deretan bangunan keagamaan berdiri berhampiran – Masjid Khadijah misalnya terletak tidak jauh daripada kuil dan tempat ibadah yang lain.

 

Lihat sahaja kemudahan yang disediakan bagi umat Islam.

 

Bagi kaum Adam Muslim, ramai diberi kelepasan menunaikan solat Jumaat.

 

Di negara ini juga terdapat sekitar 70 masjid di serata  pulau. Itu pun belum di kira musollah yang disediakan di tempat-tempat umum seperti pusat beli belah, firma dan ruang umum seperti di lapangan terbang dan sebagainya. (Rujuk kepada senarai musollah yang disediakan di hujung artikel.)

 

Justeru amat menghairankan apabila timbul kisah dua wanita yang mendesak mahu bersembahyang di ruang tangga kecemasan di sebuah pusat beli belah.

 

Lebih pelik, tempat beli belah itu ada disediakan ruang solat atau musollah yang khusus.

 

Dalam kejadian itu, pihak keselamatan sebuah pusat beli belah mendapati dua wanita menunaikan solat di ruang tangga kecemasan di pusat berkenaan. Kakitangan keselamatan kemudiannya menasihatkan kedua-dua wanita berusia 28 tahun itu supaya memanfaatkan musollah yang berdekatan kerana ruang tangga itu tidak harus dihalang demi keselamatan.

 

Namun, kededua wanita itu kembali bersembahyang di ruang tangga yang sama pada hari berikut. Sekali lagi kakitangan keselamatan meminta mereka menggunakan ruang solat yang disediakan.

 

Apabila ditegur, kededua wanita itu bertegas mahu berjumpa penyelia keselamatan yang mereka kemudian tuduh bersifat perkauman.

 

Selepas pertemuan dengan pihak keselamatan itu, kededua wanita menerbitkan pos di Facebook yang mendakwa anggota masyarakat sesebuah kaum telah memperkecilkan kaum lain.

 

Siasatan polis kemudiannya menunjukkan dakwaan yang dibuat wanita berkenaan tidak berasas.

 

Dua wanita itu diberi amaran bersyarat daripada polis bagi tempoh 12 bulan kerana membuat komen mengapi-apikan di online dan melakukan pencerobohan jenayah.

 

Menurut kenyataan polis, keputusan itu dicapai melalui perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara. Kededua wanita itu boleh didakwa jika mereka melakukan kesalahan itu sekali lagi dalam tempoh 12 bulan.

 

“Tuduhan yang dibuat oleh dua wanita itu adalah serius, tetapi tidak berasas. Tuduhan sedemikian boleh menjejas keharmonian kaum dan agama kita,” kata polis.

Dalam laporan media tempatan beberapa guru agama telah mengulas tentang kejadian itu, rata-rata para asatizah menasihatkan masyarakat supaya menghormati peraturan ketika memilih tempat menunaikan ibadah di kawasan luar.

 

Dalam kejadian itu ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan.

 

  1. HAK YANG BERBEZA

Yang pertama hak seseorang menunaikan ibadah, hak ini tentu sekali tidak boleh dinafikan namun pihak keselamatan pusat beli belah itu juga berhak menguatkuasakan peraturan keselamatan.

 

  1. KEMUDAHAN YANG ADA

Perkara yang kedua ialah pusat beli belah berkenaan mempunyai ruang khusus bagi mereka yang ingin bersembahyang. Apalah salahnya memanfaatkan kemudahan yang disediakan? Mungkin kededua wanita itu tidak maklum tentang kewujudan ruang sembahyang yang telah disediakan namun setelah dimaklumkan pegawai keselamatan tentang adanya kemudahan itu, kenapa masih berdegil mahu bersembahyang di tepi tangga?

 

Persoalan ini mungkin hanya boleh dijawab kededua wanita berkenaan.

 

Bagi anda yang ingin bersolat ketika di luar ada sekitar 70 masjid yang menawarkan kemudahan bagi anda. Jika masjid terlalu jauh berikut senarai ruang solat yang tersedia di serata pulau.

 

 

 

 

 

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments